Sufian Suhaimi Cipta Puisi Buat Tun Dr. Mahathir

Penyanyi tempatan, Sufian Suhaimi mencipta sebuah puisi untuk Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas selebriti itu mengagumi keperibadian beliau.

Puisi berjudul Terima Kasih Tun (Buat Seorang Mahathir) itu ditulis di dalam buku puisi sulung penyanyi itu yakni Di Matamu Senandika Sufian Suhaimi.

“Ia (puisi) adalah pengamatan saya dalam banyak aspek termasuk personaliti dan kepintaran Dr. Mahathir meskipun sudah dihambat usia,” kata Sufian.

“Saya melihat Dr. Mahathir sebagai seseorang yang dikagumi ramai. Jasa dan sumbangannya cukup besar buat rakyat Malaysia dan seluruh dunia,” terang penyanyi itu lagi pada majlis pelancaran buku puisi berkenaan di sebuah premis acara di ibu negara, semalam.

Di Matamu Senandika Sufian Suhaimi memuatkan 66 sajak dan luahan bicara penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu. Buku berkenaan merupakan hasil terbitan Nineflix Resources dan dilancarkan oleh Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Menurut Sufian lagi, koleksi puisi dan catatan di dalam buku berkenaan adalah berkisarkan pengalaman hidup, cinta, keluarga, kerjaya dan cita-cita yang dikumpul semenjak tahun 2012.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Zurinah Hassan memuji usaha Sufian mengangkat sastera Melayu kepada anak muda sesuai dengan pengaruh dan populariti penyanyi itu.

“Hendak menulis bukan hanya kata-kata indah yang disusun. Apa yang penting adalah idea penulisan, pemikiran, taraf pengetahuan dan pembacaan,” ujar Datuk Dr. Zurinah Hassan.

“Saya perhatikan Sufian cukup adunan untuk jadi penulis puisi yang baik kerana latar belakang termasuk tahap pendidikannya. Saya bangga anak muda sepertinya mahu menceburi dunia penulisan. Bagi anak seni yang berjinak-jinak dengan dunia ini, saya lihat ini petanda positif yang perlu dicontohi,” katanya lagi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca