Sudah Wujud Sejak 7,000 Tahun Yang Lalu, Ini 7 Jenis Keju Yang Popular Di Dunia

Keju sudah lama dikenali sejak beribu tahun dahulu. Namun, apa yang membezakannya ialah cara pembuatannya.

Ini adalah tujuh jenis keju yang menarik untuk anda ketahui.

1. Keju Mozzarella

Keju yang sangat popular ini berasal dari Itali. Mozzarella merupakan keju yang lembut dan boleh digunakan untuk jangka waktu yang singkat dan tahan lebih lama dengan pengendalian yang betul.

Kebiasaannya, ia akan diguna sehari selepas penyediaannya. Ia banyak digunakan dalam penyediaan pizza.

Bagi penggemar keju, sudah tentu mereka suka memesan pizza dan meminta extra cheese. Selain digunakan dalam penyediaan pizza, ia juga digunakan dalam variasi makanan seperti roti ‘nan cheese‘ dan juga lain-lain.

2. Keju Cheddar

Keju Cheddar ini berasal dari England iaitu sebuah perkampungan Cheddar yang terletak di daerah Somerset dan ia dihasilkan daripada susu lembu.

Keju ini merupakan keju yang paling popular di seluruh dunia. Ia mencapai usia matang apabila berusia 9 hinga 24 bulan.

Mempunyai tekstur yang rapuh dan tergolong dalam kumpulan keju yang mempunyai kekerasan separa keras. Warna asalnya adalah dari putih hingga ke kuning pudar.

Adakalanya, pewarna digunakan untuk memberikan warna kuning keemasan pada jenis keju ini.

Oleh kerana teksturnya yang padat dan tidak mudah cair, ramai yang gemar meletakkan kepingan cheddar ini di atas roti sebagai sarapan pagi.

3. Keju Parmesan

Parmesan merupakan keju yang berasal dari salah sebuah daerah di Itali iaitu Parma dan beberapa kawasan yang lain.

Keju yang terbaik daripada daerah ini dikenali sebagai ”Parmigiano-Reggiano” dan ia merupakan satu pengiktirafan yang dikeluarkan oleh kerajaan Itali itu sendiri.

Untuk pengetahuan anda, keju ini diperbuat daripada susu segar yang mengandungi protein yang tinggi. Berkabohidrat, lemak dan juga mempunyai zat besi.

Parmesan tergolong dalam golongan keju yang keras kerana ia melalui proses pemeraman yang panjang selama dua tahun.

4. Keju Edam

Salah satu keju yang popular ini ialah berasal dari Belanda iaitu sebuah kawasan yang bernama Edam.

Ia merupakan antara keju yang tertua iaitu daripada tahun 1300 sehingga 1700. Apa yang membuatkan keju ini unik ialah kerana disaluti lilin parafin di permukaan luarnya.

Mampu bertahan lama dan menjadi keras mengikut masa. Tekstur yang kenyal dan rasanya yang manis seperti kekacang.

Salutan lilin yang gelap menunjukkan Edam telah mencapai usia matang sekurang-kurangnya 17 minggu.

5. Krim keju

Krim keju ini merupakan bahan yang sangat popular dalam pembuatan kek. Ia adalah keju segar yang lembut dan mempunyai rasa yang ringan serta memiliki kandungan lemak yang tinggi.

Oleh kerana teksturnya yang lembut, ia sesuai disapu pada permukaan atas roti, dijadikan inti tart atau pai.

Krim keju atau cream cheese adalah keju yang sudah ditambah dengan krim yang mempunyai kuantiti lemak susu hampir separuh daripada berat bersih sekotak cream cheese.

Di samping itu, ia juga terdapat dalam dua jenis iaitu double cream cheese yang mengandungi 65 peratus susu dan yang biasa mengandungi 45 peratus sahaja.

6. Keju Emmental

Rupa keju ini mengingatkan kita pada cerita kartun yang sangat popular suatu ketika dahulu iaitu Tom & Jerry.

Keju Emmental ini berasal dari Switzerland dan merupakan salah satu keju keras yang cukup popular di seluruh dunia.

Ia mempunyai keunikan yang tersendiri kerana memiliki bentuk yang unik.

Keju ini juga banyak diminati ramai orang kerana rasanya yang lembut dan aromanya yang lazat. Ia dibuat menggunakan susu lembu.

Proses pematangan pula dilakukan di ruangan yang cukup dingin selama dua minggu.

7. Keju Gouda

Keju Gouda berasal dari Belanda dan namanya pula diambil sempena nama sebuah kota di Belanda iaitu Gouda.

Ia merupakan keju kuning yang dibuat daripada susu lembu dan dipasarkan di seluruh dunia.

Gouda eksport mempunyai dua jenis iaitu Gouda muda yang berumur antara satu hingga enam bulan, berwarna kuning tua dan disaluti dengan lilin parafin berwarna merah atau kuning.

Keju ini mudah dipotong dengan alat pemotong keju.

Bagi Gouda eksport yang lebih tua pula memiliki rasa pahit tersembunyi yang tajam, namun masih dianggap lebih berkrim.

Ia sukar dipotong dengan alat pemotong keju, sebaliknya dengan menggunakan pisau atau disajikan dalam potongan dadu.

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai makanan, anda boleh klik pada pautan di bawah :

Artikel Lain Untuk Di Baca