Sudah Tidak Minat Dunia Glamor, Arja Lee Seronok Jadi Pensyarah Di Kelantan

Selepas lama menyepi daripada dunia hiburan tanah air, pelakon Arja Lee rupa-rupanya kini bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti di Kelantan sejak tahun lalu.

Memetik laporan mStar, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni buat sementara waktu untuk memberi tumpuan ke kerjaya baharunya itu.

Arja menjelaskan bahawa dia tidak mahu lagi terlibat dalam dunia glamor sebagai seorang selebriti dan lebih tenang menjalani kehidupan tanpa sebarang kontroversi di Kelantan.

Sumber: Instagram @arjalee

“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang. Ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.

Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi,” ujar Arja kepada mStar.

Pelakon Pesan Pada Hati berkata dia semakin seronok dan selesa menetap di Kelantan memandangkan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

Kehidupan Arja bukan sahaja lebih sederhana tetapi kini tenang tanpa sebarang gangguan selain tidak lagi memikirkan kehidupan glamor sebelum ini.

“Kos sara hidup di Kelantan lebih rendah dan saya tidak lagi perlu memikirkan hal-hal berkaitan dunia hiburan. Fokus saya sekarang adalah terhadap pekerjaan sebagai pensyarah dan mendidik anak bangsa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Arja berkata bahawa dia bekerja sebagai pensyarah bukan kebetulan tetapi memang menyimpan impian untuk bergelar seorang pendidik sejak dari dahulu lagi.

Sumber: Instagram @arjalee

Pelakon Ariana Rose itu turut bersyukur kerana berjaya mencapai impiannya untuk melanjutkan pengajian seterusnya diterima sebagai pensyarah serta akan menggunakan ilmu dan pengalaman sebagai pelakon sebelum ini untuk dicurahkan kepada pelajar di universiti.

Sementara itu, Arja turut memaklumkan kepada mStar bahawa dia bakal menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan semua, Arja baru sahaja menamatkan pengajian dalam Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak.

Anda boleh tonton video penuh di sini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca