“Sudah Tentu Saya Akan Hadir”, Teme Abdullah, Ahadiat Akashah Dan Nadia Khan Bercakap Tentang PBAKL 2020

Menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020 yang bakal berlangsung pada 27 Mac sehingga 5 April depan, kami telah menghubungi tiga orang penulis dengan latar masa berbeza dalam pentas penulisan untuk berbicara soal acara tahunan yang penuh prestij ini. Teme Abdullah, Ahadiat Akashah dan Nadia Khan, nama-nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi bukan sahaja kepada pencinta buku malah seluruh masyarakat negara kita.

Teme Abdullah semasa mengadakan satu sesi bertemu pembaca di PBAKL 2018.

Ditanya sama ada ketiga-tiga mereka bakal hadir ke PBAKL 2020, hanya Nadia Khan setakat ini mengesahkan akan hadir di acara yang disebut sebagai hari raya bagi pencinta buku itu.

Salah satu perkara yang paling dinantikan para peminat ketiga-tiga penulis ini adalah karya baru mereka. Persoalannya, adakah mereka akan melancarkan novel baharu di PBAKL 2020 nanti?

Tinjauan kami di Twitter Teme Abdullah mendapati bahawa penulis yang memilih untuk merahsiakan identitinya itu seolah-olah memberi hint yang beliau bakal melancarkan karya terbaharu di PBAKL 2020 nanti.

Nadia Khan pula mengesahkan bahawa beliau bakal melancarkan sebuah buku baharu berjudul Musketeers di mana ia merupakan prekuel/origin story kepada novel Gantung. Buku ini diterbitkan oleh Fixi dan pembelian buku ini juga ialah sumbangan buat pembikinan #GantungTheMovie. Pra-tempahan akan bermula Jumaat ini (7 Februari 2020) dan akan mula dijual di PBAKL 2020.

Apabila ditanya mengenai kenangan paling manis semasa turut serta berada di PBAKL, masing-masing mempunyai memori yang tersendiri.

Bagi Ahadiat Akashah, melihat bagaimana novel coretan beliau susut dengan lajunya di atas rak disambar para pembaca yang singgah di gerai adalah kenangan paling manis buat beliau.

Sesi Meet & Greet bersama GANTUNG di PBAKL 2018 di PWTC, Kuala Lumpur.

Nadia Khan pula mengatakan setiap kenangan di PBAKL adalah istimewa buat beliau tetapi yang paling tidak boleh dilupakan ialah acara Meet & Greet 2018 untuk Gantung di mana lebih kurang 3,000 orang hadir.

“Tahun ini kita akan adakan satu lagi acara seperti itu (#MeetTheMusketeers2020) sempena pembikinan #GantungTheMovie cuma kali ini ia merupakan acara berbayar sebagai dana untuk pembikinan filem tersebut (memandangkan filem tersebut diusahakan secara crowdfunding).

Berbalik kepada karya masing-masing, kami sempat bertanyakan Ahadiat Akashah dan Nadia Khan berkenaan novel coretan mereka yang mana paling sentimental.

Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akashah.

“Pastinya Lagenda Budak Setan namun yang paling digemari adalah Hikayat Cinderella,” jawab Ahadiat Akashah.

“Novel paling sentimental bagi saya ialah Cerpen kerana di dalamnya terkandung kerja-kerja saya sejak dari zaman universiti sehinggalah menjadi published writer. Ia mencatatkan perjalanan saya dan di sebalik setiap cerpen, ada kisahnya yang tersendiri,” jawab Nadia Khan.

Diminta memberi pendapat tentang budaya membaca di Malaysia pada masa kini daripada segi perkembangannya berbanding 10 hingga 20 tahun lepas, Ahadiat Akashah dan Nadia Khan masing-masing bersetuju yang ia menunjukkan perkembangan positif dari masa ke masa.

“Pastinya budaya membaca terus berkembang dengan peningkatan populasi sesebuah negara menjadikan bilangan manusia boleh membaca meningkat saban tahun,” kata Ahadiat Akashah.

“Kewujudan internet dan telefon pintar juga menjadikan pemilihan cara dan jenis pembacaan lebih meluas di mana ia tidak terhad kepada fiksyen mahupun ilmiah semata-mata tetapi menjangkau pelbagai genre yang tidak terdapat di dalam buku-buku konvensional. Ini adalah perkembangan baik bagi pemburu ilmu yang segalanya berada di hujung jari, namun kesan buruk dan negatif seiringan menular bagi mereka yang mencari kandungan negatif dan sebaliknya,” ujar Ahadiat Akashah lagi.

Benderung Indie di PBAKL 2019.

Menurut Nadia Khan pula, kemunculan penerbit-penerbit indie semestinya memeriahkan lagi industri buku, mewujudkan lebih banyak pilihan dan berfungsi sebagai gateway books untuk memupuk minat membaca.

Sementara itu, apabila diajukan soalan mengenai apa yang membuatkan PBAKL lain daripada pesta buku lain, Ahadiat Akashah mengatakan kelainan yang paling nyata adalah daripada segi penawaran buku atau novel yang majoritinya berbahasa Melayu berbanding bahasa lain.

Sesi Meet & Greet bersama GANTUNG di PBAKL 2018 di PWTC, Kuala Lumpur.

Nadia Khan pula berpendapat bahawa PBAKL menyediakan ruang untuk penulis bertemu pembaca; untuk kita bertukar pendapat dan pandangan.

Pesan Ahadiat Akashah kepada semua bakal pengunjung PBAKL 2020, ambillah kesempatan ini dengan menenuhkan rak kutubkhanah masing-masing kerana inilah masa terbaik untuk membeli buku di mana setiap penerbit yang mengambil bahagian pastinya memberi diskaun potongan harga dan jualan lelong penghabisan stok.

“Marilah datang beramai-ramai dan belilah mana-mana buku yang berkenan di hati,” kata Nadia Khan yang berharap agar baucar buku kembali diadakan untuk pelajar-pelajar yang berbelah-bagi sama ada mahu isi perut atau isi minda. Tegas Nadia Khan, kedua-duanya adalah penting.

Untuk makluman semua, PBAKL 2020 bakal berlangsung pada 27 Mac sehingga 5 April 2020 bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di PWTC, Kuala Lumpur. Jumpa anda di sana!

Untuk mendapatkan kemas kini terbaru tentang PBAKL 2020, anda boleh pergi ke laman sosial rasmi PBAKL di Facebook, Instagram dan Twitter.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang sejarah PBAKL. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca