Suara Tangisan Di Sungai, Legenda La Llorona Ini Menghantui Kanak-Kanak Amerika Latin

Lagenda La Llorona sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Hispanik semenjak zaman penjajahan lagi.

Membawa maksud Wanita Menangis dalam bahasa Sepanyol, La Llorona dikatakan mempunyai rambut yang panjang dan mengenakan gaun pengebumian berwarna putih. Makhluk ini dikatakan sering menghantui kawasan sungai dan gigi air dengan menangis di malam hari dan menarik mana-mana kanak-kanak yang menghampirinya.

Terdapat pelbagai versi bagi kisah lagenda La Llrona ini. Namun, apa yang pasti kisah ini diceritakan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka untuk mengelakkannya bermain di kawasan sungai yang boleh mendatangkan bahaya.

Berikut merupakan dua versi lagenda kisah La Llorona.

1. Versi satu

Semasa hidupnya, La Llrona dilahirkan dengan nama Maria. Berasal daripada keluarga petani, gadis ini dikurniakan wajah yang sangat cantik sehingga mampu memikat mana-mana lelaki.

Meskipun Maria kelihatan seperti perempuan kampung yang biasa, dia mula berubah apabila hari menjelang petang di mana Maria akan memakai gaun putih cantik miliknya dan pergi menari sambil diperhatikan para lelaki.

Menurut lagenda, oleh kerana terlalu taksub dengan perhatian yang diterimanya, Maria yang sebenarnya merupakan ibu kepada dua orang kanak-kanak lelaki sanggup meninggalkan mereka semata-mata untuk menari bersama para lelaki di kampungnya.

Pada suatu hari, dua anak Maria ditemui mati lemas di sebuah sungai berdekatan. Hal ini dikatakan berlaku kerana kanak-kanak berkenaan bermain di kawasan itu tanpa pengawasan usai ditinggalkan ibu mereka seperti kebiasaannya.

2. Versi dua

Versi kedua La Llorona pula mengisahkan Maria sebagai wanita penyayang yang berkahwin dengan seorang lelaki kaya. Pada mulanya, hidup Maria bahagia kerana si suami sering memanjakannya dengan harta benda dan perhatian yang banyak.

Namun begitu, segalanya berubah selepas Maria melahirkan dua anak lelaki hasil perkahwinan itu.

Suami Maria mula berubah kepada kehidupan lamanya yang suka berfoya-foya dengan kaum wanita dan minum minuman keras. Perkara berkenaan menyebabkan lelaki itu jarang berada di rumah.

Maria kelihatannya sudah dilupakan oleh suaminya apabia lelaki itu dengan selambanya berbicara mengenai penceraian kerana mahu berkahwin dengan wanita lain yang mempunyai taraf kekayaan yang sama dengannya.

Tidak cukup dengan itu, suami Maria hanya melayani anak-anak mereka saat dia pulang ke rumah. Perkara itu dipercayai menyebabkan wanita berkenaan mula berasa jengkel dengan kehadiran cahaya matanya yang dianggap seperti cuba merampas perhatian yang dahulu menjadi miliknya.

Pada suatu petang, tatkala Maria dan dua orang anaknya sedang bersiar-siar berdekatan sebuah sungai, wanita itu telah ternampak suaminya menaiki sebuah kereta kuda bersama seorang perempuan cantik. Lelaki itu memberhentikan kenderaan berkenaan dan hanya bercakap dengan cahaya matanya sahaja sebelum berlalu pergi.

Berang dengan layanan yang diterimanya, Maria bertindak kejam dengan menyeret dua anaknya ke sungai sebelum mencampakkan mereka ke dalam air. Namun begitu, wanita berkenaan seolah-olah tersedar dari lamunan saat dia melihat jasad cahaya matanya hilang dari pandangan.

Dek kerana menyesali perbuatannya, Maria selalu berjalan di sekitar kawasan sungai berkenaan dengan harapan dia dapat menemukan jasad dua anaknya. Dengan berpakaian gaun putih, wanita itu sering ditemui dalam keadaan menangis. Akhirnya, Maria yang sudah tidak makan dan minum meninggal dunia di gigi air yang sama.

Tidak lama selepas itu, masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran mula diganggu roh wanita menangis yang digelar La Llorona. Menurut lagenda, perempuan itu tidak dapat masuk ke syurga atas kesalahan membunuh anaknya sendiri. Oleh itu, La Llorona sering didengari menangis di kawasan sungai kerana dia mahu mencari darah dagingnya yang hilang.

Pada waktu itu, kanak-kanak di kawasan Sungai Santa Fe diberi amaran untuk tidak keluar rumah apabila waktu malam. Ini kerana La Llorona akan menangkap mangsanya pada saat ini dan melemaskan mereka di dalam air.

Meskipun begitu, tidak dapat dipastikan versi lagenda mana yang lebih tepat. Ada yang berkata La Llorona akan melemaskan sesiapa sahaja yang berada di kawasan sungai pada malam hari. Namun begitu, sumber lain pula menyatakan wanita berkenaan hanya menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

Tidak cukup dengan itu, ada pula versi kisah La Llorona yang mengatakan roh wanita berkenaan akan datang menemui mana-mana individu yang tidak menghormati ahli keluarganya.

Kini, kisah La Llorona sudah diabadikan dalam sebuah filem bertajuk The Curse of La Llorona arahan Michael Chaves dan dibarisi para pelakon seperti Patricia Velasquez dan Marisol Ramirez.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kepercayaan dan ritual, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca