Suami Bunga Citra Lestari, Ashraf Sinclair Meninggal Dunia

Pelakon Malaysia yang mencipta nama di negara seberang, Indonesia iaitu Ashraf Sinclair, 40, dilaporkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi akibat serangan jantung.

Khabar dukacita mengenai pemergian selebriti yang juga merupakan suami kepada penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL disahkan oleh pengurus BCL sendiri yang dikenali sebagai Doddy.

Menerusi aplikasi WhatsApp, Doddy memaklumkan kepada portal berita Indonesia Kompas.com mengenai pemergian Ashraf pada kira-kira jam 4 pagi tadi akibat serangan jantung.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohd Sinclair dilahirkan di London pada 18 September 1979. Abang kepada model jelita Aishah Sinclair itu mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada tahun 2005.

Pada 8 November 2008, Ashraf telah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Pemergian Allahyarham yang berlaku secara tiba-tiba itu diratapi ramai peminat termasuklah rakan artis seperti Luna Maya, Laudya Chynthia Bella dan penulis buku Critical Eleven terbitan Lejen Press, Ika Natasha.

Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun bernama Noah Aidan Sinclair.

Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan hati untuk menghadapi dugaan ini.

Untuk membaca artikel lain berkaitan selebriti, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca