‘Steamer’ Terjatuh Atas Muka Sewaktu Membuat ‘Facial’, Wanita Ini Kongsi Kisahnya Yang Hampir Buta

Kisah malang wanita ini di mana wajahnya melecur teruk akibat kecuaian ketika menerima rawatan facial mobile spa pernah tular di media sosial pada bulan Disember tahun lepas.

Menurut mangsa yang bernama Siti Zalina, dia sendiri yang memberi keizinan kepada rakannya untuk berkongsi kisah malang yang menimpanya itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai. Dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa dalam hal ini sepertimana dakwaan daripada sesetengah pihak.

“Mereka tidak tahu cerita sebenar. Dengan selambanya mereka berkata saya mencari benda (rawatan facial) murah dan sebagainya. Sebenarnya saya sangat menjaga bab berkaitan penggunaan produk kecantikan kerana kulit wajah saya jenis sensitif.”

“Motif kawan saya viralkan cerita saya itu bukan sebab mahu mengenakan semula orang yang buat rawatan itu. Tetapi, kami tidak mahu perkara ini jadi kepada orang lain dan mahu memberi kesedaran kepada semua,” ujarnya.

Kisahnya bermula apabila salah seorang kawannya tidak berhenti menawarkan perkhidmatan facial yang diusahakannya. Walaupun Siti Zalina sebenarnya tidak gemar untuk membuat facial, dia tetap akur kerana tidak sampai hati untuk menolak perkhidmatan yang ditawarkan kawannya itu.

Menurut Siti Zalina, dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Ada banyak kemungkinan bagaimana steamer itu boleh jatuh ke atas mukanya. Ketika kejadian, rakannya mungkin terlanggar, tertolak ataupun terlepas steamer yang mengandungi air menggelegak dan mendidih itu.

Sebaik sahaja air yang mendidih tadi terkena wajahnya, dia terus bangun dan mencuci mukanya. Setelah itu, dia terus menelefon suaminya dan memberitahu tentang kejadian itu. Pada masa itu, wajahnya semakin sakit dan kesakitan itu tidak dapat dibendung olehnya sehingga dia memilih untuk pergi ke hospital.

Siti Zalina mengatakan bahawa ketika itu, rakannya tadi masih lagi berada di rumahnya.

“Ketika dia mengemas barang-barangnya sebelum balik, dia hanya beritahu yang saya tak perlu bayar servis dia hari ini. Saya hanya diam sahaja pada ketika itu. Saya tak marah pun sebab anggap itu sebagai kemalangan dan tidak disengajakan. Tambahan pula, ketika itu saya sedang menahan sakit yang teramat.”

Tidak lama selepas itu, suami Siti Zalina terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan bahawa dia perlu menjalani pembedahan kerana keadaan wajahnya itu yang melecur teruk.

Pada masa yang sama, doktor juga menasihatinya agar tabah menerima keadaan wajahnya sekarang apabila mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai eksekutif insurans yang memerlukannya berhadapan dengan pelanggan setiap hari.

Setelah diberitahu sedemikian, Siti Zalina menangis selama 3 hari berturut-turut kerana tidak dapat menerima hakikat yang wajahnya melecur teruk. Dia juga runsing memikirkan apa yang bakal terjadi terhadap kariernya. Malah, apa yang membuatkan Siti Zalina lagi sedih adalah apabila anak-anaknya turut takut melihat wajahnya itu.

“Saya memang tidak boleh terima hakikat pada ketika itu. Perasaan saya sangat sensitif. Saya tertanya-tanya, kenapa perkara ini terjadi pada saya? Memanglah ini takdir tetapi saya risau bila fikirkan masa depan saya. Bagaimana dengan karier saya selepas ini?” luah Siti Zalina.

Akibat kejadian ini, Siti Zalina telah ditahan di hospital selama 11 hari. Pembedahan dijalankan ke atasnya dengan serta-merta kerana kulit yang terbakar akibat terkena air panas itu perlu dibuang dengan segera. Kesudahannya, bahagian wajahnya itu hanya tinggal isi sahaja.

“Memang sakit. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Nasib baik saya dibius penuh. Kesakitan itu masih terasa walaupun doktor telah menyuntik ubat tahan sakit selepas pembedahan.”

“Selepas pembedahan, muka saya rasa pedih. Beberapa hari kemudian, keluar air dan gelembung pada wajah. Ketika itu, doktor yang jaga dan cuci muka saya. Hampir seminggu juga gelembung itu baru hilang. Doktor tidak memaksa kulit itu untuk tanggal. Yang mana boleh tanggal, dia cuci sedikit demi sedikit,” terangnya.

“Nasib baik mata saya tidak buta sebab air panas itu masuk ke dalam mata saya,” ucapnya syukur.

Walaupun beberapa bulan telah berlalu semenjak kejadian malang ini, Siti Zalina masih tidak yakin untuk keluar dan berhadapan dengan orang ramai.

“Sekarang, saya cuba kuatkan semangat demi anak-anak. Saya juga bersyukur kerana suami sentiasa memberikan sokongan emosi kepada saya. Dia sentiasa nasihatkan saya agar ingat pada Tuhan,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca