‘Stay Home’, Juruterbang Austria Ini ‘Tulis’ Mesej Kepada Dunia Guna Peta Pengesan Penerbangan

Dikala dunia kini sedang dibadai wabak Koronavirus baharu (COVID-19), seorang juruterbang mengambil kesempatan untuk ‘menulis’ mesej buat seluruh dunia dengan cara yang unik lagi kreatif.

Juruterbang warga Austria yang tidak dikenal pasti identitinya telah mengeja perkataan Stay Home (duduk di rumah) yang boleh dilihat menerusi peta pengesan penerbangan di ruang udara Austria selepas negara itu melaksanakan perintah lockdown susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut laporan, juruterbang yang tidak dikenal pasti identitinya itu menerbangkan pesawat satu enjin Diamond DA40 selama 24 minit di udara untuk ‘menulis’ mesej berkenaan.

Difahamkan, pesawat terbabit berlepas di kawasan Weiner Neustadt sebelum mendarat di Graz.

Tindakan juruterbang berkenaan berlaku sejurus Chancellor Austria Sebastian Kurz mengingatkan rakyat negara itu untuk menjalankan proses isolasi di rumah masing-masing susulan pandemik COVID-19 yang melanda.

Setakat ini, wabak COVID-19 sudah meragut 16 nyawa di Austria dan terdapat lebih 3,000 kes jangkitan telah dilaporkan.

Manakala di seluruh dunia pula, lebih 310,000 individu sudah dijankiti dan 13,000 nyawa telah hilang disebabkan wabak sama.

Sebelum ini pada tanggal 11 Mac, Austria masih lagi membenarkan perhimpunan beramai-ramai di kawasan terbuka dan sekolah juga belum ditutup.

Namun begitu, menjelang tarikh 15 Mac, negara itu sudah mula mengharamkan perhimpunan yang dihadiri lebih daripada lima orang, menutup sekolah, restoran dan kedai-kedai.

Pada 16 Mac pula, penduduk Austria hanya dibenarkan untuk keluar rumah sekiranya pekerjaan mereka tidak boleh dilakukan dari rumah, untuk membeli keperluan harian dan membantu orang lain.

Sementara itu, di negara jirannya yakni Itali sudah merekodkan kematian tertinggi di dunia akibat COVID-19 iaitu hampir 5,000 orang.

Angka berkenaan adalah jauh lebih tinggi daripada China yang menjadi negara pertama dibadai wabak berkenaan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca