Hari ini bakal menjadi hari paling penting yang ditunggu-tunggu rakyat kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perutusan khas ini sudah pastinya akan menjawab segala persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat sama ada PKPB akan disambung lagi untuk tempoh dua minggu dengan syarat yang lebih longgar atau ditamatkan.
Perutusan ini bakal disiarkan secara langsung di TV3, RTM, Bernama TV dan Astro Awani serta rangkaian media sosial Muhyiddin, termasuk Facebook, Twitter dan Youtube pada jam 3 petang nanti.

PKPB dijadualkan akan berakhir pada Selasa ini sejak dikuatkuasakan pada 4 Mei lalu selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Lebih banyak sektor ekonomi, sosial dan sukan akan dibuka berdasarkan beberapa keputusan kerajaan dalam tempoh seminggu dua ini. Ia termasuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi golongan tertentu.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan (Keselamatan), turut memberi bayangan bahawa Perdana Menteri akan membuat pengumuman istimewa mengenai PKPB termasuk menyentuh soal kebenaran golongan bujang merentas negeri.
Ia ditambah apabila beliau mengumumkan kerajaan akan membenarkan perkhidmatan gunting rambut, sukan dan ekonomi lain untuk kembali beroperasi pada 10 Jun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah juga turut mengaitkan PKPB apabila menegaskan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan diteruskan untuk memantau pematuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB.
Bagaimanapun, pakar epidemiologi dan virologi mempunyai pendapat yang berbeza mengenai adakah PKPB masih perlu diteruskan atau sebaliknya.
Ada yang berpendapat bahawa PKPB perlu diteruskan untuk memastikan rantaian jangkitan COVID-19 benar-benar diputuskan dalam negara namun ada yang beranggapan ia boleh diteruskan dengan beberapa kelonggaran.
Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia ketika ini mencatatkan 117 kes termasuk kematian terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 79 tahun yang disahkan meninggal dunia jam 2.05 petang semalam di Hospital Sungai Buloh.
Keputusan rasmi mengenai pelaksanaan PKPB yang akan diumumkan Perdana Menteri sebentar nanti adalah berdasarkan nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan serta laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah: