Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerbu sebuah restoran yang terletak di Seksyen 25,Shah Alam kerana memiliki sijil halal palsu.
Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).
Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, serbuan itu adalah hasil daripada aduan orang ramai terhadap restoran tersebut kerana mengelirukan masyarakat beragama Islam dengan menggantung ayat-ayat al-Quran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka.
JAIS mendapati bahawa pemilik restoran tersebut merupakan seorang yang beragama Hindu, bersama rakan perniagaannya yang beragama Islam.
Menurut beliau, “Kami juga mendapati bahawa (hampir semua kakitangan restoran) adalah bukan Islam, yang menjadikan status makanan halal mereka dipersoalkan.”
Bekalan bahan mentah seperti daging kambing juga diperolehi daripada pembekal yang tidak memiliki sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah selain menjual makanan daripada pembekal luar yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf pada pembungkusan produknya.
Ketika dihubungi Bernama, pemilik restoran T.Krisnasamy, 61, akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap perlanggaran penggunaan ayat-ayat al-Quran di dalam restorannya.
Sementara itu, Salwana berkata Jais akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik di bawah Seksyen 10 (A) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 ‘kerana menghina Islam.’
“Selain itu, pemilik premis diarah hadir ke Bahagian Pengurusan Halal JAIS untuk memberi keterangan.”Kata Salwana lagi selepas serbuan dijalankan.
Sumber: News Straits Times