Penyakit mental merupakan masalah kesihatan kedua serius di Malaysia selepas penyakit jantung. Masih ramai yang tidak tahu mengenai penyakit mental terutamanya daripada segi istilah ‘kecelaruan mental lazim’, kesan serta akibat yang mungkin berlaku di samping mengenal pasti gejala awal penyakit mental.

Sedar atau tidak sedar sebenarnya ‘stalker’ merupakan salah satu tanda penyakit mental. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia maksud stalker adalah obses mengambil tahu maklumat media berkaitan orang lain terutamanya pada seseorang yang mempunyai tahap sosial yang tinggi seperti kehidupan selebriti atau bos di tempat kerja.

Ini dikategorikan sebagai tanda kepada masalah Erotomania. Penyakit Erotomania juga bermaksud memiliki keyakinan bahawa ada orang lain mencintai dirinya sedangkan itu hanyalah khayalan mereka sendiri dan tiada bukti yang membenarkan hal tersebut.

Sesetengah laporan berhubung kes Erotomania menunjukkan bahawa penggunaan media sosial boleh menjadi salah satu punca yang menjadikan lebih mudah bagi seseorang yang mengalami gejala Erotomania untuk memerhatikan, mengambil tahu dan mengganggu orang yang tidak dikenali sebelum ini sehingga dapat menyebabkan khayalannya terus berkembang.

Apa yang lebih buruk, mereka yang mengalami penyakit Erotomania boleh mengganggu kehidupan dan bahkan mengancam keselamatan orang lain secara tidak langsung.

Mari kenali tanda dan gejala Erotomania:

1. Berfikiran bahawa orang yang diintip itu cuba memberi isyarat fizikal seperti isyarat melalui pandangan kod atau isyarat badan.

2. Cuba berkomunikasi dengan seseorang secara berterusan.

3. Membuat situasi palsu seolah-olah orang lain mengejarnya, mengintip mereka atau cuba berhubung.

4. Hilang minat pada aktiviti rutin selain daripada yang berkaitan seseorang.

5. Cemburu yang tidak bertempat.

6. Menyerang orang lain di khalayak ramai.

Sekiranya anda tersedar yang anda sebenarnya mengalami tanda-tanda penyakit Erotomania, segera dapatkan nasihat atau kaunseling bagi membendung komplikasi kelakuan agresif kepada orang lain.

Penulis

  • Nurul Nazurah Azhar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda