‘Sombong’ Dan ‘Kedekut’, Ini Kriteria Wanita Idaman Fikry Ibrahim

Setiap individu pasti mempunyai ciri-ciri pasangan idaman mereka. Selalunya, ciri-ciri lelaki idaman yang wanita inginkan adalah tall, dark dan handsome. Majoriti lelaki di Malaysia pula sukakan wanita yang berkulit cerah ala-ala Korea.

Berbeza pula dengan pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim yang tidak meletakkan paras rupa sebagai ciri utama dalam mencari teman hidup. Sebaliknya, dia meletakkan wanita ‘sombong’ serta ‘kedekut’ sebagai kriteria yang dinilainya dalam mencari pasangan.

Menurut Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, sombong yang dimaksudkannya itu bukanlah bermakna wanita tersebut berlagak.

“Wanita ‘sombong’ yang saya maksudkan ialah mereka yang tidak melayan semua lelaki dan meletakkan maruah dirinya pada tempat yang tinggi. Dalam soal kedekut pula, saya tidak suka wanita yang membazir dan boros berbelanja,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama, Hero Seorang Cinderella itu.

“Itu bukan bermakna mereka langsung tidak boleh membeli barangan berjenama, tetapi jangan keterlaluan,” tambahnya lagi.

Sebagai pelakon yang mula melonjak naik, anak kelahiran Jitra, Kedah itu tidak menafikan bahawa dia pernah digoda peminat.

“Rasanya, ia perkara biasa apabila peminat meluahkan perasaan cinta mereka kepada artis yang diminati. Tetapi, saya tidak pernah melayan mereka.”

“Saya hanya membalas mesej peminat yang jujur dan ikhlas menyokong kerjaya. Memang ada peminat yang keterlaluan dan begitu terbuka meluahkan perasaan mereka, tetapi saya sekadar membaca.”

“Saya pernah terkena apabila peminat menganggap kami mempunyai hubungan istimewa, sedangkan saya melayannya sama seperti orang lain. Saya perlu berhati-hati apabila berdepan dengan peminat seperti ini.”

“Bagi saya, artis harus pandai mendidik peminat mereka. Tindakan saya itu bukan bermakna saya cuba menjarakkan diri dengan peminat, sebaliknya kita kena tahu batasan yang perlu dijaga supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari,” katanya.

Bercakap soal kerjaya lakonannya, menurut Fikry, dia masih memegang prinsip untuk tidak melakukan apa-apa babak yang memerlukan dia bersentuhan dengan bukan mahram dalam produksi yang dijayakan.

“Saya bukannya baik sangat, malah ada juga sisi jahat yang orang tidak tahu. Walau bagaimanapun, saya pegang prinsip untuk tidak melakukan babak bersentuhan tanpa berlapik dan tidak memuat naik gambar wanita tidak bertudung di laman sosial.”

“Saya buat semua itu sebagai tanda menghormati wanita. Tidak dinafikan, ada sesetengah pihak yang menganggap prinsip saya itu menyebabkan drama tidak boleh dipromosikan.”

“Saya tidak setuju kerana banyak cara lain boleh dilakukan. Jika ada yang berpandangan seperti itu, mereka seolah-olah seperti tidak percaya pada rezeki,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca