Kita sering didedahkan dengan kesan-kesan pengaruh media terhadap diri sendiri dan kelompok umum. Penggunaan media sosial khususnya memberi impak yang besar. Namun jika kita melihat dari sudut yang positif, perkara ini sebenarnya adalah satu peluang buat kita untuk memulakan perubahan bertaraf dunia.
Sudah bertahun lamanya negara Malaysia menunjukkan sokongan padu terhadap rakyat di Palestin yang sentiasa di bawah ancaman Zionis. Kejadian penyerangan berterusan oleh pengganas Israel ke atas bumi Palestin ini mendorong rakyat kita untuk terus menentang kezaliman mereka.
Setakat hari ini, Malaysia menunjukkan solidariti buat Palestin secara terang-terangan melalui pelbagai cara. Sebahagian besar usaha ini dapat dilihat di kesemua laman media sosial dengan mewujudkan tanda pagar (hashtag) untuk menyuarakan kebencian terhadap perbuatan keji Zionis.
MyAqsa Defenders, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia memulakan kempen di media sosial melalui penggunaan hashtag bagi menentang kuat agenda tentera Israel.

Susulan itu, Pengerusi Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM), Muslim Imran, mengatakan perang maya rakyat Malaysia terhadap tentera Zionis telah terbukti berpengaruh dan berkesan.
Hashtag #IsraelKoyak digunakan oleh pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia untuk mengejek perancangan Israel Defence Forces (IDF).
Kata Muslim Imran, “Pelbagai platform media sosial telah dibanjiri dengan gerakan anti-Zionis oleh rakyat Malaysia dan hal ini sangat membantu rakyat Palestin sebagai sumbangan langsung kepada perjuangan kami selama puluhan tahun.”
Beliau sedar akan sebilangan besar individu yang kehilangan akses media sosial mereka demi menyebarkan informasi terkini dan memberikan sokongan berterusan terhadap apa yang berlaku di Gaza. Oleh itu, beliau memanjangkan ucapan terima kasih di atas usaha tersebut.
“Solidariti ini sangat penting kerana kini, kami dapat melihat perubahan yang signifikan dalam pandangan masyarakat Barat dan komuniti antarabangsa,” ujar beliau.
Ditekankan bahawa sokongan Malaysia daripada segi usaha politik, diplomatik, kewangan dan siber adalah sangat penting dan bermanfaat.
Anda boleh baca artikel-artikel berkaitan di bawah: