Solat Wajib Ditunaikan Walaupun Sedang Alami Kontraksi, Tanda Bersalin

Solat itu tiang agama. Ia dapat diibaratkan sebagai satu penghubung kabel antara kita dan Allah SWT. Dalam erti kata lain, solat itu tonggak kepada agama. Walaupun seseorang itu menghadapi kesukaran untuk menyempurnakan ibadah solatnya dengan mengikut setiap hukum, rukun dan tatacaranya, tetapi dia tetap wajib mendirikan solat yang telah difardukan ke atasnya dengan beberapa kelonggaran.

Begitu juga wanita mengandung yang mengalami kontraksi dan sudah keluar tanda bersalin. Mereka masih wajib untuk menunaikan solat tetapi ia mengikut daya dan keupayaan masing-masing.

Menurut seorang pendakwah, Shadiya Abbas, air ketuban atau darah yang keluar melalui kemaluan dianggap sebagai darah fasad. Ia merupakan darah rosak yang mana bakal ibu hanya perlu membersihkannya sebelum menunaikan solat seperti biasa. Darah fasad merupakan antara darah yang keluar daripada kemaluan wanita selain haid, nifas dan istihadah.

“Darah fasad ialah darah rosak yang biasanya keluar disebabkan sakit kontraksi kerana ketegangan pada vagina yang juga boleh berlaku kerana penyakit tertentu termasuk kanser hingga menyebabkan pendarahan yang keluar daripadanya.”

“Bagi darah haid dan istihadah (penyakit), ada tempoh tertentu mengenal pastinya, manakala darah fasad boleh berlaku bila-bila masa termasuk kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ke bawah yang belum baligh.”

“Dalam situasi ibu yang hendak melahirkan anak, sekiranya keluar darah fasad masih boleh solat seperti biasa kerana sakit kontraksi biasanya agak lama dan berlaku dalam kekerapan berbeza seperti sakit setiap sejam atau setengah jam sekali.”

Menurut Shadiya lagi, wanita yang sedang mengalami kontraksi diberikan kelonggaran agar masih mampu menyempurnakan solat mereka dan perkara ini perlu diketahui orang ramai termasuklah para suami.

“Misalnya sekiranya sudah turun tanda seperti air ketuban pecah, suami perlu membantu isteri membersihkan diri serta membantunya untuk memakai tuala wanita, baju yang bersih dan sesuai dibawa untuk solat.”

“Bagi posisi solat pula, sekiranya tidak boleh berdiri, kita dibenarkan duduk dengan badan ditegakkan. Jika masih tidak mampu kerana sakit pinggang atau bahagian belakang, kita dibenarkan mengiring dengan dada mengadap kiblat,” katanya.

Sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan sakit yang lebih serius sehingga sukar untuk mengangkat tangan, dia dibenarkan menggantikan anggota solat dengan sekadar menggerakkan kepala sahaja.

Menurut beliau, melakukan persiapan untuk solat dan mengetahui cara untuk melaksanakannya dalam pelbagai keadaan termasuk ketika sakit serta bermusafir merupakan perkara yang paling penting buat semua individu.

“Selama mana seseorang individu itu waras, sedar dan tidak pitam, wajiblah solat dan perlu mencari jalan untuk melaksanakannya.”

“Dalam melakukan kerja seharian, jangan lupa untuk memasukkan perancangan solat misalnya mengetahui persediaan ibadat sekiranya sakit atau membawa persalinan dan baju bersih ketika keluar bersama anak kecil yang dibimbangi terkena muntah atau najis.”

“Ia seperti apa yang dimaksudkan dalam doa Iftitah yang menyebut hidup dan mati hanya untuk Allah SWT, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya untuk mendahulukan ibadat dengan niat kerana-Nya,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca