Umur kanak-kanak antara 1 hingga 6 tahun adalah fasa membentuk program dalam otak mereka. Program itu seperti software komputer yang di’install’ mengikut didikan ibu bapa dan persekitaran yang wujud dalam kehidupan mereka.
Jumlah informasi yang masuk ke dalam otak anak-anak akan diproses mengikut data yang ada. Data itu masuk melalui pancaindera yang ada pada badan kanak-kanak itu. Seandainya 5 deria berfungsi dengan baik, maka melalui 5 deria ini kanak-kanak dapat memproses data yang masuk setiap hari, setiap minit dan setiap saat ke dalam otak mereka. Deria tersebut ialah penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa.
Antara perkara kritikal ialah proses kehidupan dan juga perkataan. Proses kehidupan itu termasuklah apa yang mereka lihat setiap hari. Contohnya, mereka melihat urusan harian yang dilakukan oleh ibu bapa. Daripada itu anak-anak akan menganggap ibu bapa sebagai orang yang mereka paling sayang dan manusia yang banyak berurusan dengan mereka sejak kecil.
Justeru, dalam fikiran mereka ibu bapa adalah contoh utama. Apabila mereka melihat ibu bapa sering menggunakan gajet, maka bagi mereka menggunakan gajet itu bagus. Apabila mereka melihat ibu bapa selalu membaca buku maka mereka menganggap membaca buku itu bagus.
Begitu juga apabila ibu bapa menggunakan perkataan tertentu. Mereka akan menganggap perkataan itu adalah perkataan yang betul dan boleh disebut. Sama juga apabila mereka mendengar dan melihat percakapan dan tingkah laku kawan-kawan di luar rumah.
Semakin kerap dan banyak mereka mendengar satu perkataan, semakin menebal persepsi mereka terhadap perkataan itu sehingga mewujudkan satu software dalam otak masing-masing.
Sebagai contoh, apabila anak-anak selalu mendengar ibu bapa menggunakan perkataan ‘malas.’ Contohnya ayat, “Malaslah nak pergi kerja hari ini,” “Rasa malas pulak nak bangun pagi-pagi. Tidur lagi best.” Maka lama kelamaan perkataan itu melekat dalam otaknya dan mereka dengan mudah sekali menggunakannya apabila mereka ada keupayaan bercakap dengan bebas tanpa ada sekatan daripada ibu bapa.
Abu Hurairah memberitahu bahawa, Nabi Muhammad S.A.W berkata, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik ataupun ia diam.” – Sahih Al-Bukhari
Perkataan yang baik akan menghasilkan persekitaran yang baik untuk anak-anak kita. Membentuk anak-anak yang masih kecil lebih baik daripada membaiki anak-anak yang telah dewasa.
Dalam satu kajian pada tahun 1995 oleh Hart B. dan Risley T. iaitu Meaningful differences in the Everyday Experience of Young American Children mendapati, anak-anak daripada keluarga status sosio ekonomi yang tinggi lebih banyak mendengar perkataan sebanyak 30 juta perkataan berbanding anak-anak daripada keluarga status sosio ekonomi yang rendah bermula usia 1 hingga 3 tahun.
Impak jurang kosa kata ini yang menjadikan otak anak-anak berbeza. Ia bukan isu pendapatan keluarga sebenarnya, ia adalah isu berapa lama kita luangkan masa bercakap dengan anak kita.
Dalam kajian lanjutan oleh Rachel R. Romeo dan rakan-rakan daripada MIT dan Universiti Harvard iaitu Beyond the 30-Million-Word Gap: Children’s Conversational Exposure Is Associated With Language-Related Brain Function. Beliau mencadangkan supaya ibu bapa lebih kerap berbual dengan kanak-kanak. Kajian ini mencadangkan supaya kita memilih perkataan yang sesuai dan bukan ‘main cakap’ sahaja apa yang keluar dari mulut kita.
Perbualan yang baik akan meningkatkan kebolehan otak anak-anak. Tambahan pula masa yang kita luangkan bersama anak-anak itu akan menambahkan lagi kosa kata anak-anak.