Skrip Star Wars Hampir Dijual Di eBay, John Boyega Dalang Semua Ini?

Siapa antara anda yang merupakan pengikut setia Star Wars? Baru-baru ini, pengarah Star Wars: The Rise of Skywalker iaitu J.J. Abrams mendedahkan bahawa skrip rasmi filem itu telah dimuat naik di eBay.

J.J. berkata pada Isnin lalu (25 November) bahawa Disney dan Lucasfilm dilaporkan sangat tegas dalam isu keselamatan hak cipta. Walaupun mereka sangat menjaga isu keselamatan hak cipta, tetapi skrip filem berkenaan berjaya ditemui di platform beli-belah dalam talian tersebut.

Pengarah itu berkata bahawa salah satu daripada pelakon utama filem yang dinanti-nantikan itu meninggalkan skrip tersebut di bawah katilnya secara tidak sengaja.

Sumber: Shutterstock

J.J. tidak menyebut pelakon mana yang bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut dalam wawancaranya tetapi media luar membayangkan beberapa pelakon utama yang bersikap demikian kerana pelakon pembantu tidak mendapat skrip mereka.

Walaupun begitu, semua ini sempat diselamatkan oleh pihak Disney apabila seorang wakil syarikat itu sempat membeli skrip tersebut sebelum ianya jatuh kepada pembeli lain.

Dalam pada itu, pelakon yang dimaksudkan oleh J.J. iaitu John Boyega kemudiannya mendedahkan identiti sebenar menerusi wawancara bersama Good Morning America.

John berkata, “Apa yang berlaku ialah saya tinggalkan skrip itu di bawah katil saya kerana saya perlu berpindah-randah. Pada mulanya, saya hanya mahu meletakkannya di bawah katil dan akan mengalihnya apabila bangun pada keesokan hari.”

Pelakon yang terkenal dengan watak Finn itu menerangkan bahawa dia terlupa tentang skrip itu selepas bersuka ria bersama rakan-rakannya.

Malang tidak berbau buat dirinya apabila seorang pekerja hotel itu hadir untuk membersihkan biliknya. Pekerja hotel itu  menyerahkan skrip yang ditemui olehnya kepada seseorang yang kemudiannya menjual skrip itu di eBay untuk RM351.

Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun itu kini boleh menarik nafas lega kerana skrip yang ditinggalkan olehnya tidak mempunyai pengakhiran yang sebenar untuk filem berkenaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca