SKMM Dan 8 Syarikat Telekomunikasi Malaysia Ganding Bahu Tawar Panggilan Percuma Ke Befrienders

Befrienders merupakan sebuah badan NGO yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu kepada mereka yang derita penyakit kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri. Pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengumumkan bahawa mulai 1 Ogos ini, mereka akan berganding bahu bersama lapan buah syarikat telekomunikasi tempatan untuk panggilan percuma kepada talian Befrienders.

Syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam kerjasama ini termasuklah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Pengumuman yang dibuat ini selari dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia iaitu YB Gobind Singh Deo yang baru-baru ini menyeru bahawa tiada sesiapa pun yang dikecualikan dalam peralihan negara ke arah era digital.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan pada 2018, setiap seorang daripada lima golongan dewasa di Malaysia mengalami isu kemurungan, dua daripada lima orang pula mengalami isu kebimbangan, manakala 11.2 peratus berniat untuk membunuh diri serta 10.2 peratus pernah cuba untuk membunuh diri.

Pengerusi SKMM iaitu Al-Ishsal Ishak berpendapat bahawa gejala membunuh diri ini sebenarnya boleh dicegah dan dibanteras dengan adanya inisiatif kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah pihak kerajaan dan pemain industri.

“Antara langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri melalui akses kepada talian Befrienders yang kini percuma untuk mendapatkan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan emosi,” katanya.

“Sementara kita maju bersama digitalisasi, satu usaha sama untuk memanfaatkan media sosial dan teknologi baharu dalam mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi boleh diterokai.”

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang Befrienders.

Diharapkan dengan inisiatif ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah kemurungan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca