Siti Sarah Tukar Judul Lagu ‘Dap Dap Dap’ Selepas Dikaitkan Dengan Parti Politik

Baru-baru ini penyanyi Malaysia, Siti Sarah Raisuddin telah mengeluarkan satu lagu untuk single terbaharunya yang bertajuk Dap Dap Dap.

Namun begitu, tajuk lagu itu telah mencentus kontroversi apabila tajuknya dikaitkan dengan nama sebuah parti politik. Untuk mengelakkan ia menyentuh isu sensitif, syarikat pengurusan Indigital Music telah memutuskan untuk menukar judul lagu tersebut kepada Manis.

“Kami terpaksa menukar judul asal lagu ciptaan Yonnyboii kepada Manis bagi mengelakkan salah faham di kalangan pendengar. Ini kerana ada komen yang ditinggalkan dalam laman YouTube pihak pengurusan yang mengaitkan lagu itu dengan sebuah parti politik.”

“Jadi, kami membuat keputusan menukar sahaja judul lagu bagi tidak mengelirukan pendengar dan tidak mahu dikaitkan dengan isu hal sensitif,” katanya lagi.

Siti Sarah juga menerangkan hanya judul lagu sahaja yang ditukar manakala melodi dan lirik pula masih dikekalkan.

Proses penukaran itu dikatakan susah dan memakan masa yang banyak walaupun ia nampak mudah.

“Kami terpaksa menarik semula lagu Manis daripada YouTube untuk menukar tajuknya. Proses ini nampak mudah, tetapi hampir dua minggu baru siap. Kami juga terpaksa menggantikan video baharu bagi menggantikan video sedia ada.”

“Selepas mengambil kira beberapa faktor, kami terpaksa melancar semula lagu Manis di saluran YouTube pada Ahad lalu. Ia juga kini sudah boleh dinikmati di semua platform digital,” tambahnya lagi.

Beliau juga memaklumkan ini pertama kali terjadi sejak bergelar penyanyi selama 18 tahun. Beliau tidak menyangka judul lagu Dap Dap Dap itu boleh menimbulkan isu dan kontroversi.

“Saya tak mahu netizen beranggapan ia satu perkara sensitif. Bagaimanapun, pengajaran yang paling penting adalah saya perlu lebih berhati-hati lagi selepas ini di dalam membuat keputusan terbaik untuk kerjaya saya,” jelasnya.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca