Penulis: Anon
Setiap kali membaca fiksyen, artikel atau blog post, kisah putus cinta tidak asing lagi. Kebanyakannya memaparkan tentang watak dalam percintaan yang ditinggalkan kekasih dan bagaimana mereka bangkit selepas itu sehingga bekas atau bakal-kekasih-tak-jadi terbit rasa menyesal kerana meninggalkan mereka.
Namun tidak ramai mengetahui apa jadi sebenarnya dengan pihak satu lagi iaitu heart breaker atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai pematah hati. Apa yang tersirat di lubuk hati mereka?
Heartbreaker di sini tidak merujuk kepada player, yang suka-suka menjadikan perasaan orang lain sebagai permainan atau hobi dan mempunyai kekasih keliling pinggang.
Di sini, ada dua situasi.
Pernah tak anda bercinta dengan seseorang bagai nak rak, sehingga rak pun boleh patah kerana tak mampu menampung perasaan cinta itu. Tetapi pada suatu hari, tiba-tiba perasaan itu pudar dan hilang begitu saja bersama angin lalu.
Atau pada situasi lain, seseorang meluahkan perasaan dan meminati anda namun anda friend-zone atau dalam bahasa terus-terangnya, reject dia kerana tidak mempunyai perasaan terhadapnya.
Rasa bersalah yang amat kan? Namun lebih kejam jika anda berpura-pura ‘suka’ dan harapan palsu diberikan kepada yang berharap. Jadi, anda nekad untuk berterus terang saja walaupun tahu hati kacanya bakal terhempas ke batu sebelum dilenyek bulldozer. Hatinya yang terluka atau cedera parah itu mungkin hanya boleh dirawat oleh masa.
Anda tiada niat pun untuk melukainya tetapi kadang-kadang, ia tetap berlaku. Tanpa dipinta.
Tahukah anda, menjadi heart breaker lebih menyakitkan sebenarnya. Sehingga kalau boleh ditukarkan tempat, mungkin anda lebih rela menjadi heartbroken. Bila anda menyakiti hati seseorang, terasa seolah-olah menyakiti diri sendiri juga.
Perasaan bersalah terus menghantui anda bagaikan tiada ampun. Jika orang heartbroken mendapat simpati, mendapat makian pula adalah ‘makanan’ anda. Anda akan dicop sebagai ‘bad person’ oleh masyarakat umum dan persatuan makcik-makcik bawang sedunia.
Mungkin itu salah satu akibat yang perlu ditanggung kerana mematahkan hati orang. Anda memang layak dilabel as*hole. Sampai satu tahap, anda sukar untuk memaafkan diri sendiri. Inikan pula mengharapkan si dia memaafkan anda.
Entah kena sumpah atau apa, anda terus single sehingga ke hari ini. Anda terus-menerus memagar hati anda setinggi Tembok Besar China untuk sesiapa yang cuba mengetuk pintu hati anda.
Anda buat begitu bukan untuk melindungi hati sendiri tetapi melindungi hati seseorang yang cuba mendekat. Anda takut jika berubah hati lagi. Cuaca pun boleh berubah, inikan pula hati manusia. Takut mengecewakan dia lagi dan dia membenci anda.
Anda takut pisang berbuah dua, tiga, empat kali. Kata orang bermata biru, ‘History repeats itself.’ Anda juga takut jika hukum karma melanggar anda seperti trak dan anda mendapat nasib yang sama seperti orang yang anda pernah sakiti dulu.
Suatu hari, anda tersedar… hati ini, tiada siapa boleh mengawalnya kecuali Dia. Dia yang pegang dan bila-bila masa boleh bolak-balik. Anda berdoa pada-Nya. Apa doanya? Bukan minta kekasih baru tetapi meminta hati yang lapang, tenang dan bersih dari segala kotoran degil kerana itu nikmat yang paling mahal dalam hidup ini sebenarnya.
Akhirnya, anda faham sesuatu. Anda memang tidak boleh mengubah masa lalu namun anda ada masa sekarang. Nadi anda masih berdenyut.
Anda cuba berdamai dengan masa lalu, mengambilnya sebagai pengajaran hidup dan paling penting, belajar memaafkan diri sendiri.