Sisi Gelap Industri Permodelan Yang Tidak Diketahui Ramai

Apabila melihat gambar seorang model di majalah, laman sesawang ataupun acara pertunjukan fesyen, pasti kita akan berasa kagum dengan kecantikan yang diperagakan oleh mereka.

Secara umumnya, dunia peragaan fesyen dilihat sebagai industri yang menjanjikan populariti, wang dan kemewahan hidup. Sesetengah wanita muda melihat dunia permodelan ini sebagai impian mereka sehingga ada yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk sentiasa kelihatan cantik di hadapan lensa kamera.

Realitinya, menjadi seorang model bukanlah satu pekerjaan yang senang. Setiap inci penampilan diri mereka akan diperhatikan. Malah, apa yang berlaku dalam industri ini juga tidak seindah yang disangka. Jadi, kami kongsikan beberapa sisi gelap industri permodelan yang mungkin tidak diketahui ramai.

1. Bayaran Tidak Sebanyak Disangka

Ramai melihat bahawa seorang model yang berjaya dapat mengecapi kemewahan hidup. Mereka sering kali dilihat melancong ke luar negara dan memiliki rumah yang besar. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan. Namun, untuk pengetahuan anda hanya segelintir kecil sahaja model yang mencapai taraf tersebut dan kebiasannya mereka ini sudah dianggap sebagai seorang supermodel.

Kehidupan sebahagian model terutamanya yang masih baru sebenarnya sangat sukar. Bayarannya tidaklah begitu lumayan dan mereka selalunya terpaksa mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk ke pelbagai lokasi dan set penggambaran. Ada juga agensi permodelan yang lebih kejam di mana mereka hanya membayar model setelah mereka menerima bayaran daripada klien.

2. Ketagihan Dadah

Terdapat tanggapan bahawa seorang model akan mengambil dadah kokain untuk membantu mereka sentiasa kurus. Realitinya, ia memang benar-benar dilakukan oleh sebahagian kecil model. Mengikut sumber majalah Vague, pengedar dadah akan datang ketika acara Fashion Week kerana mereka lebih tahu itulah waktu puncak seorang model akan mencari bahan terlarang tersebut.

Salah seorang model bagi jenama Calvin Klein, Kayley Chabot memulakan kariernya sebagai model seawal usia 13 tahun. Agensi yang menguruskannya memaksa beliau membuang 2.5 inci daripada ukuran pinggangnya sehingga beliau terpaksa mengambil dadah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti daripada industri ini pada usia hanya 17 tahun kerana cara tersebut menyebabkan beliau menjadi seorang penagih dadah dan mengalami gangguan makan yang teruk.

3. Pembedahan Plastik Merupakan Perkara Normal

Di Korea Selatan, adalah menjadi kebiasaan para model akan melakukan pembedahan bahagian mata bagi memastikan mata mereka kelihatan seperti model dari barat. Malah, kaum wanita di sana juga sudah didedahkan mengenai pembedahan plastik sejak daripada kecil lagi.

Dalam program televisyen Keeping Up With The Kardashians, dua model popular Kendal dan Kylie Jenner mendedahkan bahawa mereka berdua telah melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan lebih menawan. Antara pembedahan plastik yang biasa dilakukan pada bahagian mata, hidung, punggung, dada dan perut.

4. Tempoh Laku Yang Sekejap

Dunia permodelan sentiasa memerlukan model-model muda bagi memperagakan sesuatu fesyen. Kebiasaanya, model-model muda yang dibawa masuk ini mengambil keputusan drastik berhenti daripada persekolahan dan pengajian kerana gelap mata dengan tawaran wang ringgit yang diberikan oleh pihak agensi.

Malangnya, apabila sudah mencapai umur tertentu mereka dianggap sudah tua dan tidak lagi diperlukan sebagai model. Tanpa kelayakan akademik atau kemahiran lain, bekas-bekas model ini biasanya mengalami kesukaran untuk meneruskan hidup kerana tidak mampu mencari pekerjaan lain.

Dalam indsutri ini, ada kalanya model yang berumur 30 tahun pun sudah dianggap terlalu tua dan akibatnya mereka tidak lagi diberikan tawaran baru daripada pihak agensi

Jadi, apa pendapat anda tentang perkara di atas?

Artikel Lain Untuk Di Baca