Simpan Kerak Pizza Dalam Kotak, Ini Kisah 5 Individu Terkenal Yang Mempunyai Tabiat Mengumpul Yang Ekstrem

Seperti mana terdapat ramai selebriti dan individu terkenal dalam sejarah yang mempunyai masalah kemurungan, sebilangan besar daripada golongan ini juga merupakan pengumpul tegar atau digelar sebagai hoarders.

Terdapat perbezaan besar di antara pengumpul tegar dan pengumpul biasa di mana wujud elemen obsesif kompulsif pada pengumpul tegar atau horders.

Berikut merupakan lima individu terkenal dalam sejarah yang merupakan pengumpul tegar.

1. Saudara Collyer

Pasangan adik-beradik Homer dan Langley Collyer merupakan dua warga Amerika yang menjadi terkenal kerana tabiat mengumpul mereka yang ekstrem. Segalanya bermula selepas Homer disahkan buta akibat serangan strok pada tahun 1932. Langley terpaksa berhenti kerja demi menjaga saudaranya itu.

Pada 1947, pihak polis telah memecah masuk ke rumah saudara ini selepas menerima aduan daripada jiran-jiran mengenai satu bau busuk yang hadir dari unit pangsapuri mereka. Pihak berkuasa terpaksa masuk melalui tingkap rumah ekoran pintu utama yang tidak dapat dibuka dek barangan yang terlalu banyak.

Hasil siasatan mendapati bau busuk yang dihidu penghuni pangsapuri itu sebenarnya datang dari mayat Homer yang sudah agak lama meninggal dunia. Tiga minggu kemudian, pihak polis berjaya menemukan mayat Langley di rumah yang sama. Ketika ditemui, jasad Langley hanyalah beberapa kaki daripada jasad Homer tetapi timbunan barang yang terlalu banyak menyebabkan mayat Langley lambat ditemui.

Punca kematian Langley dipercayai akibat dihempap barangan yang dikumpulnya. Homer yang buta pula didapati mati akibat kelaparan ekoran tiada lagi orang yang membantunya di dalam rumah bersepah itu.

2. William Randolph Hearst

Merupakan seorang ahli politik, penerbit surat khabar dan ahli perniagaan, nilai bersih bagi harta William Randolph Hearst dianggarkan berjumlah hampir 30 juta dollar Amerika (RM124 juta) pada hari ini.Wang yang banyak itu dihabiskan William dengan membeli pelbagai barangan seperti hasil seni, perabot dan barangan antik.

Bagi koleksi hasil seni sahaja, jumlah yang dihabiskan William dianggarkan mencecah 25 peratus daripada pasaran seni global.

3. Andy Warhol

Andy Warhol merupakan seorang pengarah dan pelukis terkenal yang mempelopori genre lukisan pop art. Namun begitu, lelaki ini juga merupakan seorang pengumpul tegar.

Selepas kematiannya pada tahun 1987, seorang wasi telah menjumpai lebih 600 kapsul masa yang dihasilkan oleh Andy sepanjang hidupnya. Salah satu daripada kapsul masa tersebut mempunyai senarai bil yang belum dibayar oleh Andy. Malah, satu kerak pizza juga dijumpai tersimpan elok di dalam sebuah kotak berlabel.

4. Ida Mayfield Wood

Tabiat mengumpul Ida Mayfield Wood terbongkar selepas wanita berusia 93 tahun ini menjerit meminta tolong selepas saudaranya, Mary tidak sedarkan diri. Wanita yang menjadi terkenal setelah berkahwin dengan seorang ahli politik ini telah tinggal di Herald Square Hotel bersama-sama kakaknya itu selama 24 tahun.

Ida sering mengaku dia dan saudaranya tidak punya wang. Namun, segalanya terbongkar setelah pekerja hotel masuk ke bilik Ida untuk membantunya.

Mereka menjumpai satu bagasi besar berisi kain renda yang mahal berasal dari Ireland, Venice dan Sepanyol, beberapa gaun, rantai, jam tangan, gelang tangan dan tiara, gulungan sijil emas tahun 1860an dan seutas rantai berlian yang dianggarkan bernilai 40,000 dollar (RM165 ribu).

5. Edmund Trebus

Edmund Trebus menjadi terkenal setelah membuat kemunculan di dalam rancangan televisyen British bertajuk Life of Grime pada tahun 1999.

Merupakan seorang hoarder sejak 30 tahun yang lalu, Edmund telah memenuhkan kawasan kediamannya dengan pelbagai jenis barangan sehingga menganggu jiran-jiran. Difahamkan, Edmund sudah lama hidup tanpa bekalan air dan eletrik sekaligus mengakibatkan lelaki ini tidak boleh mandi di rumahnya sendiri.

Setelah rumahnya dibersihkan oleh beberapa sukarelawan, Edmund telah sekali lagi mengumpul barangan yang banyak sehingga melimpah ke laman hadapan.

Apakah pandangan anda? Adakah anda juga seperti mereka yang berada di dalam senarai ini?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca