Simbolik Wanita Mangsa Dera, Ratusan Kasut Tumit Tinggi Warna Hitam Digantung

Demi mengingati setiap wanita yang meninggal dunia akibat keganasan rumah tangga sepanjang tahun lalu, seorang pereka grafik di Turki menggantung 440 pasang kasut tumit tinggi di sekitar bangunan ibu negara Turki.

Keganasan rumah tangga sering menjadikan wanita sebagai mangsa utama dan mereka kebiasaannya menderita akibat didera malah mati di tangan pasangan masing-masing.

Dek ingin meningkatkan kesedaran tentang masalah penderaan domestik, Vahit Tuna ingin menarik perhatian orang ramai tentang masalah yang sering dipandang remeh oleh masyarakat ini.

Tuna memilih untuk menyebarkan mesej itu di seluruh kawasan sekitar 260 meter persegi di bahagian luar dinding bangunan Yankose, sebuah platform seni bukan berasaskan keuntungan.

Hasil seninya itu dipamerkan di luar bangunan kerana ingin menarik perhatian setiap orang awam yang melalui kawasan itu dan tidak tertumpu kepada peminat seni sahaja.

“Inilah sebabnya mengapa kami tidak mahu mengadakan pameran di kawasan tertutup,” jelas Vahit Tuna.

Sudah menjadi adat di beberapa buah tempat di Turki untuk meninggalkan kasut seseorang yang telah meninggal dunia di luar rumah mereka.

Konsep yang sama, idea Tuna tercetus dengan memilih 440 pasang kasut tumit tinggi berwarna hitam kerana ia melambangkan si mati.

Seramai 409 wanita dibunuh oleh pasangan mereka pada tahun 2017 dan jumlah itu meningkat kepada 440 pada tahun lalu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca