“Siasatan Terperinci Harus Dilakukan”, Perdana Menteri Kanada Percaya Pesawat Ukraine Ditembak Misil Iran

Pemimpin negara Barat kini percaya bahawa pesawat Ukraine International Airlines PS752 yang terhempas di Tehran sebenarnya ditembak secara tidak sengaja oleh peluru berpandu Iran.

Pemimpin Kanada dan United Kingdom menyeru siasatan penuh dijalankan bagi mengetahui punca sebenar nahas yang meragut nyawa kesemua individu yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Menerusi satu sidang media, Perdana Menteri Kanada yakni Justin Trudeau berkata beliau telah menerima beberapa sumber risikan yang menunjukkan Iran sudah menembak jatuh pesawat Ukraine berkenaan sekali gus menyebabkan 176 penumpang dan anak kapal termasuk 63 warga Kanada maut.

Nahas terbabit dilaporkan berlaku hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan dua pangkalan tentera yang menempatkan askar Amerika Syarikat di Iraq.

Media Amerika Syarikat membuat anggaran bahawa insiden hempasan kapal terbang itu berkemungkinan berlaku kerana Iran beranggapan pesawat itu sebagai kapal terbang perang Amerika Syarikat yang mahu membalas serangan misil mereka.

Trudeau dalam ucapannya turut memberitahu sidang media bahawa terdapat kemungkinan insiden berkenaan tidak disengajakan.

“Siasatan terperinci harus dijalankan. Warga Kanada mempunyai persoalan dan kami berhak menerima jawapan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Trudeau berkata ia masih terlalu awal untuk menunding jari pada mana-mana pihak.

Pada awal Khamis lalu, Oleksiy Danylov iaitu Setiausaha Sekuriti dan Pertahanan Ukraine menyenaraikan pelanggaran di udara dengan dron atau mana-mana objek terbang, kemusnahan enjin akibat masalah teknikal dan serangan pengganas di dalam kapal terbang sebagai tiga kemungkinan nahas penerbangan PS752 itu berlaku.

Siasatan lanjut yang bakal dijalankan didakwa akan disertai pakar yang turut menyiasat insiden hempasan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun 2014.

Semalam, Menteri Pengangkutan Iran, Mohammed Eslami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan pesawat malang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu Iran.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati nahas berlaku disebabkan kegagalan teknikal.

Pesawat Ukraine International Flight yang membawa seramai 167 penumpang dan sembilan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini pada 8 Januari lalu sebelum terhempas berhampiran kawasan Parand iaitu sebuah bandar di wilayah Robat Karim.

Nahas kapal terbang yang sedang dalam perjalanan ke Kiev sebelum ke Kanada telah mengorbankan kesemua individu di dalamnya sekali gus menjadikan insiden berkenaan sebagai kemalangan pesawat paling teruk pernah berlaku di Iran dalam masa lebih 10 tahun.

Untuk membaca artikel lain berkaitan insiden hempasan pesawat, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca