Baru-baru ini tular isu mengenai seorang menteri yang kurang prihatin terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan meletakkan kenderan beliau di tempat parkir yang dikhaskan untuk OKU. Difahamkan, menteri tersebut bersama ayahnya yang kurang upaya dan beliau telah menggunakan alasan tersebut untuk memarkir kereta dipetak OKU. Seperti sedia maklum, parkir OKU hanya untuk pemandu OKU sahaja dan bukannya penumpang.
Namun begitu, dalam situasi-situasi tertentu, agak menyedihkan apabila ada segelintir pihak bukan OKU yang tidak menghormati perkara ini, dan menyalahgunakan ruang berkenaan untuk kepentingan sendiri dengan meletakkan kenderaan mereka di ruang khas berkenaan.
Di bawah merupakan kenyataaan yang dikongsikan oleh Muhamad Fazrin mengenai isu ini di akaun Facebook miliknya.
Berikutan tular tentang isu seorang pak menteri yang memarkir kereta di petak parkir OKU, dengan alasan membawa ayahnya yang OKU dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, boleh dikatakan berkali-kali juga aku kongsikan perkara ini.
Untuk makluman, petak parkir OKU dibina khas untuk PEMANDU OKU FIZIKAL. Ini kerana ruang petak parkir yang besar, yang boleh memuatkan kerusi roda pemandu itu. OKU kategori lain yang sihat tubuh badan boleh cari petak parkir lain dan ia tidak menjadi satu masalah.
“Pak menteri itu ada ayah yang sakit, takkan tak ada timbang rasa?”
Faham, ayahnya tidak sihat. Ada dua cara yang boleh digunakan (jika pemandunya bukan OKU dan penumpangnya OKU fizikal);
Pertama, turunkan OKU itu dan minta seseorang jaga atau maklumkan kepada pengawal untuk turunkan sebentar manakala pemandunya pergi cari petak parkir lain.
Kedua, parkir di petak parkir OKU dan letak kad OKU penumpang pada papan pemuka (dashboard) kereta.
Aku lebih galakkan kalian guna cara yang pertama. Percayalah, ada pemandu OKU yang lebih memerlukan petak parkir itu.
“Mana kau tahu dia tak letak kad OKU penumpang? Entah-entah kau yang tak nampak. Suka betul buat andaian.”
Kawan, beginilah, kalau kau punya ‘common sense’ yang baik, kau akan tahu dan sedar petak parkir itu bukan boleh digunakan sesuka hati. Ia dikhususkan untuk kategori OKU yang tertentu. Sama fungsinya seperti laluan tactile untuk orang buta tapi kau sibuk parkir motosikal di situ sehingga menghalang laluan mereka.
Isu ini hakikatnya berat. Bukan hal enteng yang boleh dipandang sebelah mata. Apatah lagi yang melakukan penyalah gunaan (aku boleh andaikan begitu) adalah seorang pak menteri. Fasiliti OKU untuk OKU.
Semoga isu ini menjadi pengajaran dan membentuk kesedaran masyarakat tentang kewujudan dan fungsi sesebuah fasiliti OKU.
Sekian.
Senyum.
Mengenai isu ini juga, ada sesetengah warganet yang bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh Muhamad Fazri ini. Di bawah merupakan komen-komen positif daripada warganet.
Oleh itu, kita sebagai warga negara Malaysia haruslah lebih peka dan prihatin terhadap situasi dan keadaan golongan OKU. Dan, sekiranya sudah ada peraturan yang telah ditetapkan lebih baik untuk kita sama-sama patuh bagi mengelakkan kesulitan yang lain kemudiannya. Bagi mereka yang sihat dan cukup sifat, jangan pula mengada-ngada meletakkan kenderaan di ruang khas untuk OKU. Jadilah warga yang bertanggungjawab.