“Siapa Yang Takutkan Koronavirus?” Perbuatan Lelaki Jilat Barangan Di Pasar Raya Bawah Padah

Tatkala seluruh dunia sedang dilanda panik susulan penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19), seorang lelaki warga Amerika Syarikat melakukan aksi melampau dengan menjilat barangan di sebuah pasar raya di negara itu.

Menurut laporan media tempatan. suspek yang dikenal pasti sebagai Lee Pfister, 26, turut merakamkan perbuatan tidak senonohnya itu dan memuat naik video berkenaan di media sosial sehingga ia menjadi tular.

Menerusi rakaman yang dikatakan berlaku di Walmart, Warrenton, Pfister dilihat memandang ke lensa kamera dan berkata, “Siapa yang takutkan Koronavirus?”

Dia kemudiannya bertindak menjilat beberapa barangan yang dipamerkan di rak jualan, antaranya adalah botol deodoran.

Walau bagaimanapun, suspek yang berasal dari Missouri itu dilaporkan telah ditahan oleh polis Warrenton pada Isnin lalu.

Menerusi akaun Facebook rasmi Jabatan Polis Warrenton, mereka bertindak menahan suspek setelah menerima beberapa panggilan daripada masyarakat setempat dan luar negara seperti Belanda, Ireland dan United Kingdom (UK) yang ingin melaporkan kejadian berkenaan pada 11 Mac lalu.

“Kami mengambil berat insiden ini, lebih-lebih lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin memburuk di negara ini. Kami menganggap hal ini serius kerana mahu melindungi komuniti setempat,” ujar Lt. Justin Unger.

Pfister yang dituduh atas kesalahan membuat ancaman pengganas kini berada dalam tahanan polis sementara menunggu proses perbicaraan yang dijadualkan pada Mei.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca