Siapa Sebenarnya Dracula?

Apabila sebut sahaja tentang Dracula, pasti figura ini yang terlintas di fikiran anda.

Ya, pasti kita membayangkan Dracula kelihatan seperti ini – lelaki berkot hitam panjang dan dikatakan bertaring. Dracula adalah watak pontianak rekaan penulis Bram Stoker di dalam novel tulisannya bertajuk sama pada tahun 1897.

Foto: Bowie News

 

Walaupun watak ini hanyalah rekaan semata-mata tetapi ia diinspirasikan daripada ‘Dracula’ yang sebenar.

Jadi, siapakah sebenarnya Dracula?

 

Vlad The Impaler

Foto: Wikipedia

Vlad III, juga dikenali sebagai Vlad The Impaler (Vlad Si Penyula) atau Vlad Dracula ialah seorang voivode atau putera dari Wallachia (Kota Transylvania). Vlad merupakan anak kedua kepada Vlad Dracul atau Vlad II, seorang pemerintah Wallachia pada tahun 1436.

Ayah Dracula ialah seorang panglima tentera yang pada saat itu sedang mengetuai serangan merampas balik Wallachia daripada kekuasaan John Hunyadi. Tentera Wallachia mendapat bantuan daripada tentera Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada ketika itu. Setelah berjaya menawan balik Wallachia, Vlad II telah menghantar dua orang puteranya iaitu Vlad III dan Radu cel Frumos sebagai bentuk terima kasih dan kesetiaannya kepada Kerajaan Uthmaniyyah.

Sepanjang berada di Turki, kedua-dua orang putera Vlad II telah memeluk Islam dan mendalami selok-belok berkaitan dengan agama Islam. Dua orang putera Wallachia ini juga dilatih mengenai seni peperangan bersama dengan tentera Uthmaniyyah yang lainnya dan ternyata, mereka berdua akhirnya handal dalam menyusun strategi peperangan.

Adik Dracula, Radu cel Frumos memiliki wajah yang rupawan sehingga diberi jolokan ‘The Handsome’, ialah seorang yang rajin belajar dan taat. Beliau juga mengetuai pasukan Janisari Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Foto: Wikipedia

Berbeza pula dengan abangnya, Vlad III yang memberontak dan suka menyeksa binatang sehingga mati. Mungkin terpengaruh dengan pelaksanaan hukuman-hukuman mati yang sering dilihat olehnya.

 

Perang Salib

Dalam buku berjudul ‘Dracula, Pembantai Umat Islam Dalam Perang Salib’, karya Hyphatia Cneajna, Dracula diceritakan sebagai seorang pembesar Wallachia, berketurunan Vlad Dracul.

Dalm buku itu juga diceritakan bahawa Vlad III ialah salah seorang daripada panglima tentera Salib. Dalam perang inilah Dracula banyak melakukan pembunuhan kejam terhadap umat Islam. Dijelaskan juga di dalam buku tersebut bahawa jumlah korban kekejaman Dracula mencapai 300,000 jiwa umat Islam!

Kesemua mangsa telah dibunuh dengan pelbagai cara yang sangat biadab dan kejam seperti dibakar hidup-hidup dan kepala mereka dipaku. Paling kejam – disula.

Gambar menunjukkan Dracula sedang menjamu selera disebalik timbunan mangsa-mangsa kekejamannya. Foto: Wikipedia

 

Penyulaan 

Penyulaan merupakan cara penyiksaan yang amat kejam – kayu sebesar lengan tangan orang dewasa (dengan hujungnya ditajamkan) akan ditusuk melalui dubur seseorang itu. Kayu tersebut kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tubuh sehingga menembusi kepala melalui mulut. Bayangkan sahaja betapa azabnya penyeksaan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa kekejaman Dracula.

Foto: Visit Romania

Hyphatia menjelaskan di dalam buku beliau:

“Ketika matahari mulai meninggi Dracula memerintahkan penyulaan segera dimulakan. Para perajurit melakukan perintah tersebut seolah seperti robot yang telah diprogram. Penyulaan disulami dengan teriakan kesakitan dan jeritan penderitaan yang segera memenuhi segala penjuru tempat itu. Mereka, umat Islam pada saat itu sedang dijemput ajal dengan cara yang begitu mengerikan. Mereka tak sempat lagi mengingat kenangan indah dan manis yang pernah mereka alami.”

Tidak hanya orang dewasa sahaja yang menjadi korban, tetapi juga bayi. Hyphatia memberikan gambaran tentang penyulaan terhadap bayi seperti berikut:

“Bayi-bayi yang disula tak sempat menangis kerana mereka kesakitan yang amat apabila hujung kayu menembus perut kecilnya. Tubuh-tubuh korban itu meregang di kayu sula untuk menjemput ajalnya.”

Kekejaman seperti yang telah dipaparkan di atas itulah yang selama ini disembunyikan oleh Barat. Menurut Hyphatia hal ini terjadi kerana dua sebab.

Pertama, pembunuhan beramai – ramai yang dilakukan Dracula terhadap umat Islam tidak boleh dihapuskan dari Perang Salib.

Kedua, Dracula merupakan pahlawan bagi pasukan Salib. Walau sekejam mana Dracula, nama baiknya akan selalu dilindungi. Sehingga di Romania saat ini, Dracula masih diangkat sebagai seorang pahlawan.

Untuk menutup kekejaman mereka, Barat terus-menerus menyembunyikan siapa sebenarnya Dracula. Mereka berusaha agar sejarah jati diri Dracula yang sebenarnya tidak terbongkar. Tidak dinafikan bahawa usaha Barat untuk menyembunyikan fakta yang sebenar di sebalik Dracula ternyata berhasil. Tonton sahaja filem Dracula Untold – segala apa yang diceritakan adalah sangat berbeza daripada sejarah sebenar.

 

Sultan Mahmud II (Sultan Mehmed II Al-Fateh)

Sultan Mahmud II (dikenali sebagai Sultan Mehmed II) yang terkenal dengan gelaran Al-Fateh dalam sejarah Islam merupakan penakluk Konstantinopel.

Foto: Wikipedia

Sultan Mehmed Al-Fateh telah mengalahkan Dracula, sekaligus menghentikan kekejamannya dengan memenggal kepala Dracula di tepi Tasik Snagov.

 

Sumber: Era Muslim

Foto Paparan Utama: Rolandia

Artikel Lain Untuk Di Baca