Shazwan Zafran Tampil Buka Cerita Tentang Apa Yang Terjadi Selepas ‘Diserang’ Azfar Rovski

Baru-baru ini, rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) yang bersiaran di TV3 telah menjemput Azfar Rovski dan juga seorang lagi pemuda yang dikenali sebagai Shazwan Zafran untuk membahas topik “Hapuskan Sindir Badan, Body Shaming Tidak Kelakar”.

Mahu dijadikan cerita, Shazwan yang sebelum ini pernah dikecam teruk gara-gara tindakannya memuat naik satu video memaparkan badan ‘sado’ kepada umum rupanya pernah melakukan body shaming terhadap model berusia 25 tahun itu.

Dalam rancangan yang bersiaran secara langsung itu, Azfar mengungkit semula tweet yang pernah dicoret oleh Shazwan terhadap dirinya. Shazwan sebelum ini pernah memuat naik satu tweet yang mengatakan, “Tolong buru dan kerat Azfar Rovski sekali” memandangkan ketika itu, kes remaja albino diburu dan dikerat untuk ritual sihir sedang hangat diperkatakan.

Tindakan Azfar ‘menembak’ Shazwan secara depan-depan menerusi medium siaran langsung itu membuatkan pemuda berkenaan terkedu. Memandangkan potongan video ‘episod’ menuding jari itu menjadi tular di laman sosial, Shazwan telah menerima kecaman hebat daripada warganet.

Team Lejen Press Digital telah menghubungi Shazwan sendiri bagi mendengar ulasan lanjut daripadanya berkenaan isu ini.

Apabila ditanya bagaimanakah keadaannya selepas isu tersebut berlaku, jejaka bertubuh kekar itu mengatakan yang dia sedikit terkilan kerana satu-satunya coretannya yang berunsur body shaming diungkit semula di kaca televisyen. Tindakan warganet melontarkan kecaman terhadap Shazwan bagaikan tiada hari esok turut menganggu emosinya.

Meskipun kecaman yang dilontarkan sedikit mengganggu emosinya, Shazwan masih memilih untuk melihatnya dari sudut positif. Menurut Shazwan, dia membaca setiap satu daripada coretan yang ditinggalkan warganet di media sosialnya untuk menjadikannya sebagai iktibar sekali gus membawa ketenangan kepada dirinya.

Mengakui apa yang dicoretnya (tweet body shaming) itu salah, Shazwan bagaimanapun berpendapat bahawa Azfar tidak sepatutnya berbuat demikian, lagi-lagi menerusi medium siaran langsung kerana sebelum siaran bermula, mereka telah diberikan masa selama setengah jam untuk berbincang.

Mereka juga diberikan peringatan berkenaan beberapa peraturan rancangan tersebut termasuklah tidak memalukan mana-mana pihak.

Azfar Rovski pun dua kali lima sahaja

Dalam pada orang ramai memuji tindakan Azfar, segelintir warganet tampil mengungkit satu coretan Azfar di laman Twitter di mana dia sendiri pernah melakukan body shaming terhadap seorang individu yang dikenali sebagai Arlina Banana.

Malah, Azfar sebelum ini juga pernah memuat naik satu tweet yang seolah-olah menghina dan mempermainkan agama.

Sedar yang Azfar juga sebenarnya dua kali lima sahaja dan tidak sepatutnya menuding jari terhadapnya, Shazwan memilih untuk reda dan menganggap apa yang menimpanya itu (dimalukan di kaca televisyen) sebagai satu pengajaran.

“Mungkin Tuhan nak tunjuk yang tiada siapa sempurna dalam dunia ini,” kata Shazwan.

Apa yang terjadi selepas rakaman tamat?

Ramai yang tertanya-tanya tentang apa yang terjadi selepas rakaman rancangan tersebut berakhir sama ada kedua-dua mereka bertegur dan bermaafan antara satu sama lain. Menurut Shazwan, dia menunggu Azfar untuk menyelesaikan perkara ini secara baik. Namun begitu, pihak produksi meminta mereka keluar bagi mengelakkan pergaduhan daripada berlaku.

Reaksi keluarga dan rakan-rakan rapat Shazwan

Apabila disoal tentang reaksi keluarga dan rakan-rakan rapatnya selepas diperlakukan sedemikian, Shazwan mengatakan bahawa mereka tidak putus-putus memberikan kata semangat kepadanya kerana bimbang dia akan mengalami kemurungan.

Permohonan maaf secara terbuka

Shazwan juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Twitter. Rata-rata warganet memuji tindakannya kerana mengakui kesilapan yang pernah dilakukan. Malah, Azfar juga tampil memberikan respons terhadap permohonan maaf Shazwan itu dan masing-masing telah pun berdamai.

Kami harap agar warganet tidak mengungkit lagi kes ini memandangkan Shazwan dan Azfar pun sudah berdamai. Jadikan ia sebagai iktibar kerana tanpa kita sedar, mungkin kita sendiri pernah melakukan body shaming terhadap seseorang.

Sumber:
Shazwan Zafran

Artikel Lain Untuk Di Baca