SEVENTEEN Berentap Dengan BTS, BlackPink, SB19 Di Billboard Music Awards

Pada tanggal 29 April yang lalu, Billboard telah mengumumkan calon-calon untuk hampir 50 jenis kategori di 2021 Billboard Music Awards akan datang.

Salah satu kategori yang terlibat ialah kategori Top Social Artist yang telah menampilkan lima wajah yang cukup terkenal dan sering menjadi bahan bualan warganet di Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain platform.

Antara calon bagi kategori Top Social Artist pada tahun ini ialah Ariana Grande, BTS, Blackpink, SEVENTEEN dan SB19, iaitu kumpulan penyanyi terkenal dari Filipina. Tiga daripada calon tersebut merupakan kumpulan penyanyi K-pop daripada Korea Selatan.

Bagi kumpulan SEVENTEEN, ini adalah julung-julung kalinya mereka mewakili Korea Selatan dalam pencalonan bagi kategori ini.

Kemunculan kumpulan SEVENTEEN seramai 13 orang ahli di bawah Pledis Entertainment bermula pada tahun 2015 dan mereka cukup terkenal dengan panggilan Self-producing Idols atas segala projek album, lagu, serta koreografi yang dihasilkan oleh ahli-ahli kumpulan mereka sendiri.

Lee Jihoon atau nama pentasnya, Woozi merupakan produser, penulis lirik dan ketua unit vokal bagi kumpulan tersebut dan sudahpun mempunyai senarai 102 lagu yang berdaftar atas namanya sendiri di bawah Korea Music Copyright Association (KOMCA) sahaja, tidak termasuk lagu-lagu ciptaannya yang lain.

Manakala ketua unit persembahan, Hoshi juga turut bertanggungjawab dalam mencipta tarian dan persembahan bagi kumpulan SEVENTEEN.

Pada tahun lepas sahaja, kumpulan yang terbahagi kepada tiga unit iaitu vokal, persembahan dan Hip Hop itu, telah berjaya menerima Anugerah Kepujian Perdana Menteri daripada Perdana Menteri Korea Selatan sendiri, atas sumbangan mereka dalam perkembangan kesenian dan budaya Korea Selatan.

Sumber: Twitter

Tidak kurang itu juga, SEVENTEEN telah berjaya meraih tiga juta jualan bagi album mereka yang berjudul An Ode (2019) , Heng:garae (2020) dan Semicolon (2020) dalam masa hampir dua tahun sahaja.

Awal tahun ini, mereka juga telah mempersembahkan empat lagu yang berbeza iaitu Home;run, Left & Right, Hit, dan juga VERY NICE dalam empat rancangan ternama di Amerika Syarikat iaitu, The Late Late Show With James Corden, The Kelly Clarkson Show, The Ellen Show dan Grammy’s Press Play At Home.

Sumber: Twitter

Persembahan tersebut turut mendapat perhatian ramai daripada peminat dan masyarakat di luar Korea Selatan atas kualiti persembahan yang mereka persembahkan dalam rancangan-rancangan tersebut.

“Pencalonan ini merupakan salah satu penghargaan terbesar bagi kami,” kata Joshua, salah satu ahli kumpulan tersebut.

Mereka juga tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan dan rasa terima kasih mereka terhadap Carat, iaitu para peminat SEVENTEEN kerana menjadikan impian mereka kenyataan.

Acara 2021 Billboard Music Award itu dikatakan akan berlangsung pada 23 Mei akan datang di Los Angeles dan para pemenang akan ditentukan melalui undian daripada peminat secara atas talian.

Pencalonan Billboard yang melibatkan artis dari luar Amerika Syarikat ini telah berjaya menaikkan jumlah penonton di serata negara.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca