Filem Disney Little Mermaid mengisahkan seorang puteri duyung berambut merah menyala yang telah jatuh hati pada seorang putera manusia. Di dalam versi penceritaan ini, si puteri duyung, Ariel menemui kebahagiaan setelah berjaya mengahwini jejaka idamannya.
Walau bagaimanapun, kisah asal Little Mermaid yang ditulis oleh seorang penyajak Denmark bernama Hans Christian Andersen pada 1837 ini mempunyai pengakhiran yang amat berbeza.
Seperti mana versi Disney, puteri duyung Ariel di dalam penceritaan Hans Andersen ini telah jatuh cinta pada seorang putera raja manusia yang diselamatkannya. Dek kerana mahu bersama pujaan hati dan mempunyai jiwa manusia, Ariel telah pergi berjumpa dengan ahli sihir laut dan menawarkan suaranya sebagai bayaran untuk menjadi manusia.
Walau bagaimanapun, Disney tidak menceritakan secara terperinci perihal kesakitan yang dialami Ariel semasa di dalam proses untuk berubah menjadi seorang manusia.
Hans Andersen menulis di dalam versi asal kisah ini bahawa kesakitan yang dialami Ariel sewaktu dia meminum posyen diberikan ahli sihir laut ibarat memasukkan sebilah pedang tajam ke dalam tekak.
Tidak cukup dengan itu, Ariel juga merasakan keperitan yang teramat sangat setiap kali dia memijak tanah. Hans Andersen mengibaratkan kesakitan yang dirasai puteri duyung itu ibarat memijak serpihan kaca yang tajam.
Sebaik sahaja putera raja berjumpa dengan Ariel yang sudah menjadi manusia, baginda terus jatuh hati pada kecantikannya meskipun Ariel bisu. Walau bagaimanapun, putera berkenaan tidak berkahwin dengan Ariel kerana sudah tersalah anggap seorang puteri lain sebagai orang yang telah menyelamatkannya tempoh hari.
Puteri duyung berasa teramat kecewa dan sedih dengan keputusan putera tersebut. Ketika Ariel sedang menunggu kematian menjemputnya, kakak-kakak puteri duyung berkenaan telah muncul sambil memberikan sebilah pisau. Menurut mereka, senjata itu telah diberikan oleh ahli sihir laut setelah kesemua puteri duyung itu membayar dengan rambut mereka yang panjang.
Di dalam penceritaan Hans Andersen, Ariel masih mempunyai peluang untuk kembali menjadi duyung dengan satu syarat yakni puteri berkenaan haruslah membunuh putera raja dengan sebilah pisau tadi. Darah putera raja kemudiannya haruslah dititiskan di kaki Ariel untuk merungkai jampi yang telah dilakukan.
Walau bagaimanapun, Ariel tidak sampai hati untuk meragut nyawa cinta hatinya. Oleh itu, puteri duyung berkenaan akhirnya menemui ajalnya setelah Ariel terjun dari kapal dan berubah menjadi buih.
Menurut Hans Andersen, ketika Ariel menjadi buih di lautan, puteri duyung itu sudah menjadi anak angin. Sekiranya Ariel mahu jiwanya semula, puteri berkenaan harus melakukan amalan baik selama 300 tahun berturut-turut.