Setelah 2 Tahun Tragedi Basikal Lajak, Jurujual Wanita Dibebas Dan Dilepaskan Daripada Tuduhan Memandu Melulu

Mahkamah Majistret Johor Bahru pada hari ini membebaskan dan melepaskan Sam Ke Ting, seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada tahun 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan tertuduh tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Menurut Siti Hajar dalam penghakimannya, keputusan mahkamah bersandarkan kepada beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada pukul 3 pagi.

Selain itu menurut Siti Hajar, keputusan mahkamah juga bersandarkan kepada situasi keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.

Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaaan dan pencahayaan yang malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

Siasatan juga turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu. Ini sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ. Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi, namun, hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu. Ia tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan jalan itu atau penduduk yang tidak tinggal di situ,” kata Siti Hajar lagi dalam penghakimannya.

Siti Hajar juga turut mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak bagi mengelak kejadian sama berulang serta meminta pihak polis untuk bertindak tegas berhubung aktiviti berkenaan.

Sam didakwa memandu memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sam dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pada 28 Mac 2017, beliau didakwa di mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Faizal Mokhtar.

Seramai 46 saksi pendakwaan dikemukan sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2017 dengan 214 eksibit. Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan serta-merta dan wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin.

Artikel Lain Untuk Di Baca