“Setahun 8 Bulan Kami Menanti.” – Bapa Ainul Mardhiah Kongsi Rakaman Video Puteri Sulungnya Keluarkan Suara

Masihkah ingatkah anda kepada bayi kecil ini? Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin merupakan seorang bayi berusia setahun lapan bulan yang pernah menjentik hati rakyat Malaysia apabila mengalami tumor seberat 200 gram pada bahagian mulut.

Kisah si kecil itu turut mendapat perhatian pelatih pakar bedah warganegara Malaysia di London, Dr. Nur Amalina Che Bakri yang mengambil inisiatif mengaturkan pembedahan bayi itu di Hospital Kanak-Kanak London.

Terbaharu, bapa Ainul Mardhiah iaitu Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, menzahirkan rasa syukur di laman sosial Facebooknya. Dia memberitahu bahawa penantian selama setahun lapan bulan untuk mendengar suara puteri sulungnya itu akhirnya tertunai.

“Sejak dia lahir, kami tidak pernah dengar suaranya. Alhamdulillah, budak cerdik ini dah pandai tutup trachy sendiri dan keluarkan suara. Beginilah suara Ainul Mardhiah yang saya yakin anda semua tidak pernah dengar suaranya,” tulis Ahmad Safiuddin.

Sementara itu, ibu Ainul Mardhiah iaitu Nurul Erwani, 25, tidak ketinggalan menzahirkan keterujaan progres baharu cahaya matanya itu di laman sosial Instagram.

“Alhamdulillah… syukur. Ini (mengeluarkan suara) semua Ainul buat sendiri. Tengah tengok Omar & Hana tiba-tiba dia keluarkan suara.

“Dah lama mama dan walid tunggu saat seumpama ini,” tulisnya.

Video rakaman Ainul Mardhiah mengeluarkan suara yang dikongsikan oleh ibu bapanya mendapat perhatian warganet dan rata-rata mereka tidak melepaskan peluang meninggalkan komen-komen positif dan ucapan syukur dengan perkembangan bayi itu.

Sementara itu, Dr. Nur Amalina Che Bakri yang membantu membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London untuk mendapatkan rawatan pada tahun lalu juga tidak melepaskan peluang berkongsi video Ainul Mardhiah mengeluarkan suara di laman Twitter peribadinya.

Dr. Amalina yang tertarik dengan gaya rambut baharu Ainul, turut berkongsi beberapa keping gambar terkini yang diterima daripada Nurul Erwani.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London pada Jun tahun lalu.

Pembedahan tersebut dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan iaitu Prof David Dunaway.

Dr. Amalina dan seorang lagi doktor Malaysia, Dr. Julian Ong turut terbabit dalam pembedahan berisiko tinggi itu.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk membaca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca