Servis Isi Minyak Bergerak, Lori Petronas Memudahkan Anda Untuk Isi Minyak Kereta

Setiap kali hendak mengisi minyak kenderaan, kita perlu memandu ke stesen minyak untuk berbuat demikian, bukan? Pernah terfikir tak yang alangkah mudahnya jika ada servis penghantaran dan pengisian minyak terus kepada kita sebagai pengguna?

Mungkin bagi sesetengah orang, ia berbunyi agak merepek. Namun, dalam era teknologi moden dengan pelbagai pemain industri bersaing untuk menawarkan pengalaman terbaik buat pengguna untuk servis yang mereka sediakan, tiada apa yang mustahil.

Sekurang-kurangnya ketika ini, segmen perniagaan bakal mendapat kemudahan servis tersebut. Manakala untuk pemilik kenderaan persendirian, trak-trak bergerak akan berada di lokasi-lokasi tumpuan untuk memudahkan anda membuat pengisian minyak.

Petronas telah memperkenalkan Rovr dan perkhidmatan pengisian minyak mudah alih yang pertama di Malaysia. Pada dasarnya, ia seperti stesen minyak bergerak dan ia memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pengguna sama ada segmen perniagaan dan pemilik kenderaan persendirian.

Rovr telah mengisi segmen untuk pelanggan komersial sejak Oktober 2018 dan mereka telah membuat penghantaran lebih dari 1 juta liter bahan api. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Dato ‘Sri Syed Zainal Abidin, mereka menerima maklum balas positif daripada pelanggan komersil mereka dan mereka sudah bersedia untuk menampung lebih banyak lagi permintaan. Bagi perniagaan yang memiliki van dan lori, ini adalah cara yang paling berkesan dan mudah untuk membuat isian semula seluruh kenderaan yang ada.

Untuk Segmen Komersial

Apa yang anda perlu lakukan hanyalah menjadualkan temujanji dan Petronas akan menghantar pasukan Rovr Ranger mereka untuk mengisi minyak kenderaan anda di lokasi yang telah diaturkan. Sebaik sahaja ia selesai, anda boleh membayar dengan menggunakan kad SmartPay anda.

Tawaran servis ini mampu menyelesaikan permasalahan dan kesukaran bagi pemandu lori kerana terdapat stesen petrol yang mempunyai batasan had ruang untuk kenderaan komersial yang bersaiz besar.

Rovr ketika ini mempunyai kapasiti 4,000 liter dan tiga trak berkapasiti 11,000 liter untuk pelanggan komersial. Menurut Petronas, trak bahan api Rovr dijamin selamat dan telah diperakui untuk melakukan penghantaran dan pembuangan bahan bakar, dan ia memenuhi piawai kesihatan, keselamatan, kawalan dan alam sekitar (HSSE) yang ketat yang ditetapkan oleh kerajaan dan badan pengawalseliaan.

Setiap trak dilengkapi sensor untuk memantau maklumat penting dan mengekalkan keselamatan operasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Untuk Pengguna Kenderaan Persendirian

Rovr tidak lama lagi akan memulakan program perintis untuk pengguna dengan menggunakan trak berkapasiti 3,000 liter. Untuk segmen ini, Rovr akan meletakkan trak mereka di tempat-tempat tumpuan utama di mana pengguna boleh mengisi minyak dengan mudah. Menurut Petronas, perkhidmatan business to consumer (B2C) akan menawarkan Petronas ‘Primax 95 dengan Pro-Drive di lokasi-lokasi dengan trafik yang tinggi untuk memperluas kawasan liputannya di luar rangkaian stesen Petronas yang sedia ada.

Tidak seperti stesen minyak konvensional, apa yang perlu anda lakukan adalah meletakkan kenderaan anda di sebelah trak Rovr dan membuka penutup minyak. Rovr Ranger akan membantu untuk membuat pengisian minyak untuk anda. Ya, anda tidak perlu keluar dari kenderaan anda. Mudah bukan?

Menurut portal SoyaCincau, setakat ini masih tiada butiran lanjut untuk program permulaan atau perintis Rovr.

Namun, Petronas memaklumkan bahawa mereka akan memperluaskan perkhidmatan Rovr di seluruh negara dan akan menyediakan lebih banyak lokasi untuk pengguna mengisi bahan api menjelang akhir tahun ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca