Sertai Operasi Pasukan Penyelamat, Lelaki Ini Tidak Sedar Individu Yang Dicari Adalah Dirinya Sendiri

Seorang lelaki di Turki menghabiskan masa berjam-jam lamanya menyertai misi pencarian ‘orang hilang’ bersama pasukan penyelamat.

Walau bagaimanapun, beliau langsung tidak sedar bahawa orang hilang yang dicari pasukan penyelamat itu sebenarnya adalah dirinya sendiri.

Walaupun ia kedengaran agak pelik, Beyhan Mutlu dilaporkan hilang oleh isterinya sendiri selepas keluar minum minuman beralkohol bersama rakan-rakannya sehingga mabuk sebelum memasuki hutan.

Beyhan terpisah dengan rakan-rakannya selepas didapati mabuk sehingga mencetus kebimbangan isterinya yang bertindak memfailkan laporan polis.

Memetik laporan Daily Mail, isteri lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai cuba menghubungi suaminya berkali-kali tetapi gagal jadi beliau terus membuat laporan polis tentang ‘kehilangan’ Beyhan.

Beyhan (tengah). Sumber: Daily Mail Online

Selepas menerima laporan tersebut, pihak polis bersama pasukan penyelamat dan sukarelawan segera ke hutan berkenaan untuk melakukan operasi pencarian Beyhan yang dikatakan hilang itu.

Walaupun operasi pencarian telah dilancarkan selama berjam-jam lamanya, pasukan penyelamat masih gagal menemui orang yang hilang.

Pada masa yang sama, Beyhan terserempak dengan sekumpulan pasukan penyelamat dan sukarelawan yang terlibat dalam misi pencarian orang hilang.

Beyhan yang turut menyertai misi pencarian tersebut akhirnya menyedari operasi berkenaan dilancarkan untuk mencari dirinya sendiri selepas sukarelawan bertugas menjerit memanggil namanya.

Beyhan yang pada mulanya bingung dan bertanya siapakah orang hilang yang sedang dicari sebelum memberitahu pasukan penyelamat tersebut, “Saya di sini.”

Dalam sekelip mata, ‘orang hilang’ itu telah ditemui dan misi pencarian akhirnya selesai.

Lelaki itu kemudiannya diminta untuk beri keterangan kepada polis tentang ‘kehilangannya’ yang telah membimbangkan keluarganya. Beliau difahamkan telah merayu kepada polis, “Jangan hukum saya teruk-teruk, tuan. Bapa saya akan ambil nyawa saya.”

Pasukan penyelamat itu kemudiannya hantar Beyhan pulang ke rumah dan lanjutan kes kehilangan berkenaan tidak dikenal pasti lagi setakat ini.

Dalam pada itu, ia bukan kali pertama individu hilang yang dicari menyertai misi pencarian untuk dirinya sendiri. Pada tahun 2012, seorang wanita yang dilaporkan hilang di Iceland telah ditemui dalam misi pencariannya sendiri selepas beliau gagal kenal pasti gambaran pelancong perempuan yang digambarkan pemandu bas berkenaan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca