Sering Menjadi Mimpi Ngeri Kanak-Kanak, Kenali Makhluk Bokbong

“Tebey lah gi denuh, makei bokbong baru tahu” masyarakat di Kelantan selalunya menggunakan ayat ini untuk menakut-nakutkan kanak-kanak yang nakal. Kenapa Bokbong dan bukan hantu atau benda ngeri yang lain?

Sebenarnya ada sebab-sebab tertentu bokbong ini menjadi ancaman ngeri kepada kanak-kanak.

Adakah bokbong ini hantu, atau orang jahat seperti penculik atau penjual organ ataupun hanyalah mitos yang direka-reka oleh orang dahulu?

Untuk pengetahuan anda, bokbong ini adalah seekor haiwan yang pada mata kasar kita hanya nampak biasa namun binatang inilah yang boleh membunuh makhluk yang berbisa seperti ular dan musuh utamanya adalah King Cobra.

Nama biasa yang kita dengar pada haiwan ini adalah cerpelai ataupun mongoose dalam bahasa Inggeris. Terdapat nama lain juga disebut pada haiwan ini iaitu bambun di Kedah manakala jebon di Pulau Pinang.

Jika sekali pandang, haiwan ini seakan musang kerana bentuk badan dan cara berjalannya yang hampir sama dengan musang dan apa yang membezakannya dengan musang adalah kepantasan serta makanan mereka.

Musang biasanya kita lihat memakan buah-buahan dan juga haiwan seperti ayam. Namun begitu, bokbong ini lebih gemar memakan binatang yang berbisa seperti ular.

Jika anda pernah melihat aksi haiwan ini bertarung dengan ular, anda memang seorang yang sangat beruntung kerana susah untuk kita sebagai manusia melihat kedua-dua makhluk ini bertarung.

Majoriti pertarungan antara kedua-dua haiwan ini akan berakhir dengan kemenangan yang biasanya diperolehi oleh bokbong tersebut.

Setelah ular itu mati, bokbong akan memakan ular tersebut dan biasanya akan pengsan untuk seketika kerana bisa yang ada pada ular itu dan setelah tersedar daripada pengsan, ia akan terus memakan ular itu sampai habis.

Pasti anda tidak menyangka bahawa haiwan yang seakan musang ini mampu menewaskan seekor ular yang dua atau tiga kali ganda lebih besar darinya. Inilah yang menyebabkan kanak-kanak terlalu takutkan dengan bokbong ini kerana keupayaannya menewaskan haiwan berbisa itu.

Bagi kanak-kanak, ular merupakan makhluk yang tidak boleh ditewaskan oleh haiwan yang lain namun bila mengetahui bahawa bokbong ini boleh menewaskan binatang sebisa ular itu sudah semestinya mereka akan takut dengan bokbong.

Kepada kanak-kanak, jangan biarkan hidup anda dihantui bokbong!

Penulis:                             

  • Muhamad Aris Bin Aziz adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah pensyarah kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan haiwan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca