Sering Mengadu Sakit, Doktor Terkejut Jumpa Satu Keluarga Lipas Dalam Telinga Lelaki Ini

Seorang lelaki telah datang ke hospital dan mengadu sakit telinga. Setelah diperiksa, telinga kanan pemuda yang hanya dikenali dengan nama Mr. Lv itu sebenarnya telah menjadi sarang pembiakan buat satu keluarga lipas.

Menurut laporan The New York Post, pemuda itu telah datang ke Sanhe Hospital di daerah Guandong, China selepas mengalami kesakitan pada telinga kanannya.

Tambah lelaki tersebut, dia sedar bahawa terdapat sarang serangga di dalam telinganya namun tidak menyangka ia sebenarnya sarang satu keluarga lipas.

Pada mulanya, Dr. Yijin yang merupakan seorang pakar telinga, hidung dan tekak di hospital berkenaan menganggap kesakitan yang dialami Mr. Lv tidaklah terlalu serius.

Walau bagaimanapun, keadaan bertukar serius sebaik sahaja Dr. Yijin mula menyuluh ke dalam telinga Mr. Lv.

“Saya menjumpai lebih daripada 10 ekor anak lipas di dalamnya,” ujar Dr. Yijin.

Doktor berkenaan segera menjalankan prosedur untuk mengeluarkan serangga tersebut. Dengan menggunakan tweezer, Dr. Yijin mula mengeluarkan lipas-lipas terbabit satu persatu.

“Anak-anak lipas tersebut berjaya dikeluarkan, termasuklah ibunya,” kata doktor tersebut.

Dr. Yijin yang tertanya-tanya bagaimana serangga tersebut berada di dalam telinga pesakitnya akhirnya mendapat penerangan setelah cara hidup Mr. Lv didedahkan kepadanya.

“Mr. Lv sebenarnya mempunyai cara kehidupan yang kurang bersih. Dia sering meninggalkan sisa makanan betul-betul di sebelah katilnya ketika tidur. Perkara itu menyebabkan serangga seperti lipas menghurung kawasan berkenaan,” ujar doktor itu.

Meskipun dengan kecuaiannya, Mr. Lv dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah pulih seperti biasa.

Artikel Lain Untuk Di Baca