Sering Mempunyai Masalah Bibir Kering? Ketahui Ini Adalah 4 Puncanya

Kepada mereka yang mengalami masalah bibir kering, seringkali mereka akan mencuba produk-produk yang boleh menghilangkan masalah ini seperti lipbalm ataupun menggunakan madu dan juga skrub bibir yang diperbuat daripada gula dan sebagainya.

Keberkesanan bagi setiap individu adalah berbeza. Cara-cara ini berkesan kepada sesetengah individu, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang masih mengalami masalah bibir kering walaupun sudah mencubanya? Adakah sebab lain yang menjadi puncanya?

Ini adalah empat perkara yang merupakan punca bibir masih kering walaupun sudah mencuba pelbagai cara untuk menghilangkannya.

1. Makanan yang pedas dan masin

Bagi mereka yang mengalami masalah bibir kering, mereka boleh cuba mengurangkan pengambilan makanan masin dan juga pedas. Garam yang terkandung dalam makanan yang masin boleh menyebabkan iritasi dan keradangan kepada lapisan bibir, begitu juga makanan yang pedas sehingga menyebabkan bibir kering.

2. Terdedah lama kepada cahaya matahari

Sinaran matahari adalah punca utama kepada bibir kering walaupun cuaca mendung dan sinaran matahari masih juga terasa. Oleh itu, jika anda seorang yang terdedah lama kepada sinaran matahari, anda seharusnya menggunakan lipbalm yang sesuai iaitu lipbalm yang mengandungi SPF15.

Pilih lipbalm yang mengandung titanium dioxide, zinc oxide, atau avobenzone (butyl methoxydibenzoylmethane) sebagai pelindung UVA. Kandungan lipbalm itu sendiri membantu melembapkan bibir, sementara pelindung sinar matahari yang terdapat di dalamnya akan meminimumkan kesan ke atas pengeringan bibir.

3. Menjilat bibir

Satu perkara yang sering dilakukan tanpa sedar yang menyebabkan bibir kering adalah dengan menjilat bibir. Ketika bibir kering, anda akan menjilat bibir anda untuk memberi kelembapan yang sementara. Namun begitu, hal ini boleh menyebabkan lapisan kulit bibir anda kering dan menarik kelembapan pada bibir anda. Jika anda ingin menghentikan tabiat menjilat bibir, anda boleh memakai lipbalm untuk mengurangkan kekerapan anda menjilat bibir.

4. Kekurangan air dalam badan

Jika anda kekurangan air di dalam badan, hal ini boleh mengganggu keseimbangan mineral badan anda. Ia akan menyebabkan impak yang negatif bukan sahaja kepada organ dalaman anda, malah juga memberi kesan kepada kulit. Untuk menghindarkan diri daripada kekurangan air dalam badan, sering diingatkan untuk minum air 8 sehingga 12 gelas setiap hari.

Pada sesetengah orang, masalah bibir kering ini sering dipandang remeh, namun bibir kering juga boleh menjadi satu tanda masalah kesihatan yang lebih serius.

Penulis:

  • Nor Zawani Binti Kamarudin¬†adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain, klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca