Sering Masak Untuk Anak-Anak Yatim, Pemergian Atuk Dalam ‘Grandpa Kitchen’ Buat Netizen Berduka

Dengan 6,100,000 pengikut di YouTube, ‘Grandpa Kitchen’ merupakan sebuah saluran masakan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bagi anda yang tidak tahu akan saluran ini, ‘Grandpa Kitchen’ terkenal kerana menonjolkan seorang warga emas yang sering memasak hidangan yang enak dalam jumlah yang besar untuk golongan anak-anak yatim yang memerlukan.

Beliau terkenal kerana cara masakannya yang menggunakan kayu api di luar rumah itu kelihatan santai dan bersahaja. Walau bagaimanapun, aksi terbaharu daripada tukang masak yang sama ini mungkin tidak dapat ditonton lagi pada masa hadapan.

Rata-rata warganet menzahirkan kesedihan mereka selepas mendapat tahu bahawa Narayana Reddy yang berusia 73 tahun dari Telangana, India itu dilaporkan telah meninggal dunia.

Video terakhirnya yang berdurasi selama lima minit dan 51 saat mendapat 1,400,000 tontonan selepas saluran itu memuat naik video berkenaan 20 jam yang lalu. Video terbaharu itu memaparkan saat-saat terakhir Narayana yang menghembuskan nafas terakhir pada Ahad lalu (27 Oktober). Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Selain itu, anda turut boleh menonton pelbagai video masakan yang dikongsikan olehnya sebelum ini. Anda boleh tonton video yang dikongsikan oleh saluran berkenaan merakamkan proses penyediaan kek coklat Oreo.

Bukan sahaja mendiang pandai dalam membuat pencuci mulut, tetapi beliau turut berkebolehan dalam memasak pelbagai jenis masakan.

Narayana turut memberikan semua keuntungan yang diperoleh daripada semua video dalam saluran ‘Grandpa Kitchen’ kepada rumah anak yatim. Beliau membelikan keperluan asas seperti makanan, pakaian, alat tulis dan hadiah sempena hari kelahiran mereka daripada keuntungan tersebut.

Semoga perkara yang dilakukannya semasa beliau masih hidup akan kekal menjadi inspirasi buat kita semua.

Artikel Lain Untuk Di Baca