Sering Bawa Watak Bapa, Pelakon Veteran Idris Mat Diah Meninggal Dunia

Selepas dikejutkan dengan pemergian pelakon, Datuk Zulkifli Zain dan penyanyi, Sandra Dianne beberapa hari lalu, dunia hiburan sekali lagi diselubungi berita sedih apabila pelakon veteran Idris Mat Diah pula meninggal dunia.

Idris, 61, yang terkenal dengan watak Pak Andak dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 dikatakan meninggal dunia ketika sedang tidur kira-kira pukul 2:30 pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya. Berita mengejutkan ini disahkan sendiri oleh anak saudara arwah, Nurul Nabihah Mod. Rizal.

“Benar, bapa saudara saya meninggal dunia awal pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya. Saya diberitahu tentang perkara tersebut pada pukul 3 pagi tadi,” kata Nabihah.

Menurut anak arwah sendiri iaitu Alia, ayahnya tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi. Arwah ayahnya juga sudah dua hari hilang selera makan.

Idris atau nama penuhnya Mohd. Idris Mohd. Diah, 61, merupakan antara pelakon veteran yang sangat disegani dalam industri seni. Arwah yang sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu juga pernah muncul dalam drama Cucu Tauke Beras, Andainya Takdir, Zahir Tak Terucap dan banyak lagi. Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menurut seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud menerusi perkongsian di laman Facebooknya, beliau menyifatkan Idris sebagai aktor yang cukup dihormati. Pengalaman berganding dengan arwah menerusi telefilem Bila Bulan Mengambang sekitar 1990-an masih berbekas di jiwa.

“Salah seorang pelakon yang sangat saya minat, segani dan amat saya hormati. Banyak yang saya pelajari daripada arwah. Seorang aktor yang sangat merendah diri tetapi ilmunya luas sebagai seorang aktor. Berehatlah Idris di negara abadi,” tulis Fauziah atau Ogy.

Jenazah akan dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, sebelum solat Zuhur.

Kami dari team Lejen Digital mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan industri hiburan di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca