Sering Bangga Tayang Kehidupan Mewah, Aset Pempengaruh Ini Disita Polis

Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia telah menyita aset seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Doni Salmanan bernilai 64 bilion rupiah (RM18,756,294) kerana lelaki itu terlibat dalam penipuan skim pelaburan Quotex.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah Siber Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia iaitu Asep Edi Suheri berkata nilai itu melibatkan rampasan sebanyak 97 aset dan barang berharga milik Doni Salmanan atau nama sebenarnya Doni Muhammad Taufik.

Asep berkata rampasan itu melibatkan wang tunai 3.3 bilion rupiah (RM967,136), dua buah rumah di Candra Asih, Kota Baru Parahyangan dan Soreang Banjaran di Bandung, Indonesia.

“Terdapat dua bidang tanah yang masing-masing mempunyai keluasan pertama 0.05 hektar di Candra Asih dan tanah seluas 0.04 hektar di Soreang Banjaran.

Sumber: Instagram Doni Salmanan

Pihak polis juga merampas 18 buah motosikal pelbagai jenama dan warna seperti Ducati, Kawasaki, Honda dan Yamaha,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asep berkata pihak polis turut menyita enam kenderaan seperti Lamborghini, Porsche, BMW, Toyota Fortuner dan Honda CRV.

“Selain itu, kami juga menyekat empat akaun e-mel dan media sosial yang menggunakan YouTube King Salman dan pelaburan berkaitan Qoutex. 

Kami turut menyita 27 dokumen seperti sijil hak milik, buku simpanan bank, kad debit ATM, 20 alat elektronik seperti telefon bimbit, kad SIM, komputer riba dan iPad,” tambahnya. 

Asep berkata pihak polis turut merampas 22 jenis pakaian daripada pelbagai jenama mewah seperti Hermes, Dior dan Canali. 

Selepas didakwa sebagai suspek utama kes penipuan pelaburan, Doni Salmanan tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Indonesia dan berharap orang ramai memaafkan semua kesalahannya.

Skim pelaburan yang dijalankan secara besar-besaran ini dilaporkan telah merugikan orang ramai termasuk seorang individu yang kehilangan sehingga 380 juta rupiah (RM111,289) kerana terperdaya dengan skim penipuan ini yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.

Selain Doni Salmanan, Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia merampas aset seorang lagi pempengaruh iaitu Indra Kenz yang mencecah 57.2 bilion rupiah (RM16,742,663) sebelum ini selepas lelaki itu terlibat dalam kes penipuan pelaburan menerusi aplikasi Binomo.

Sumber: Suara

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca