Serangan Viking Dan Ritual Korban Manusia, Ini Teori Di Sebalik Lagu ‘London Bridge Is Falling Down’

Merupakan salah satu lagu kanak-kanak tradisional yang popular, London Bridge is Falling Down juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti My Fair Lady dan London Bridge. Ditulis pada abad ke-17, lagu ini menjadi terkenal pada pertengahan abad ke-19 setelah pertama kali dicetak di Britain dan Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke-18.

Turut menjadi sebahagian daripada permainan kanak-kanak, tak ramai yang mengetahui lagu ini mempunyai pelbagai teori yang mempersoalkan makna di sebalik bait-bait lirik lagu kanak-kanak ini.

Serangan Viking

Salah satu teori yang popular tentang makna di sebalik lagu London Bridge is Falling Down ini adalah serangan viking.

Menurut Heimskringla yakni koleksi cerita tentang raja-raja Norway yang ditulis oleh sejarawan dan penyajak Snorri Sturluson pada tahun 1230, Jambatan London telah dimusnahkan oleh Olaf II yang berasal dari Norway. Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada tahun 1014.

Dalam satu penulisan Norway yang diterbitkan oleh Samuel Laing pada tahun 1844, terdapat satu rangkap yang kelihatan hampir sama dengan bait-bait lirik lagu London Bridge is Falling Down.

London Bridge is broken down. —
Gold is won, and bright renown.
Shields resounding,
War-horns sounding,
Hild is shouting in the din!
Arrows singing,
Mail-coats ringing —
Odin makes our Olaf win!

Walau bagaimanapun, teori ini masih tidak dapat dibuktikan ekoran Heimskringla adalah satu-satunya rekod sejarah yang menceritakan kisah kejatuhan Jambatan London.

Teori Immurement

Immurement adalah satu bentuk tahanan di mana seseorang itu akan diletakkan di dalam satu ruang tertutup tanpa ada jalan keluar. Kebiasaannya, mangsa penjara jenis ini dibiarkan sendirian sehingga mereka mati kelaparan atau dehidrasi yang melampau.

Penyeksaan ini adalah berdasarkan kepercayaan dahulu kala di mana sesuatu struktur bangunan atau jambatan akan menjadi lebih kukuh dengan adanya manusia yang dimakamkan di asas sesuatu pembinaan.

Walaupun immurement biasa diperkatakan dalam kisah-kisah lagenda, terdapat beberapa bukti bahawa perkara ini berlaku di alam nyata dan mereka yang sering menjadi mangsa tahanan ini adalah kanak-kanak.

Teori berkenaan makna lagu London Bridge is Falling Down ini merujuk kepada satu idea yang diutarakan dalam The Traditional Games of England, Scotland and Ireland yang ditulis oleh Alice Bertha Gomme. Menurutnya, Jambatan London akan runtuh sekiranya tiada korban manusia yang ditanam di asas pembinaan tersebut.

Teori lain

Tidak cukup dengan itu, ada juga teori yang mengaitkan makna lagu ini dengan satu kejadian kebarakan besar yang berlaku di London pada tahun 1666. Jambatan popular itu dikatakan telah musnah akibat insiden terbabit.

Walau bagaimanapun, teori yang paling popular mengenai maksud di sebalik lagu London Bridge is Falling Down ini adalah tentang korupsi yang berlaku semasa pembaikan jambatan ini di zaman Henry I.

Gundik raja berkenaan, Matilda dari Scotland dikatakan telah mengambil wang yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kos pembinaan jambatan terbabit.

Kisah di sebalik lagu kanak-kanak ini dikongsikan seorang warganet yang memegang @PopPelangi di laman Twitter.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca