Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas London, Ini Peristiwa ‘Dawn Raid’

Kuala Lumpur telah melancarkan sebuah serangan pasaran saham secara mengejut ke atas London pada 7 September 1981. Peristiwa yang dikenali sebagai dawn raid ini menyaksikan kerajaan Malaysia mengambil alih syarikat perladangan Guthrie di London dalam masa empat jam sahaja.

Serangan pada waktu subuh ini diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tun Ismail Mohamad Ali (bekas Gabenor Bank Negara Malaysia).

Kami kongsikan kronologi peristiwa yang menggemparkan seluruh dunia itu menerusi artikel ini:

Tun Dr. Mahathir tidak berkenan dengan kerajaan British

Kerajaan British menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar asing dari beberapa buah negara pada tahun 1979 termasuk Malaysia. Tindakan itu membebankan hampir 17,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

Malaysia pula tidak mampu menyerap para pelajar tersebut di negara ini kerana tidak mempunyai institusi pendidikan yang mencukupi pada waktu itu.

Tun Dr. Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran kepada kerajaan British bahawa tindakan itu hanya akan merugikan mereka dalam jangka masa panjang. Kerajaan British sebaliknya tidak mengendahkan amaran beliau kepada mereka.

Kerajaan British juga menolak cadangan Malaysia untuk mendapatkan hak pendaratan tambahan di Lapangan Terbang Heathrow bagi Malaysia Airlines (MAS) tidak lama selepas itu.

Pada masa yang sama, kerajaan British mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang untuk ke Singapura.

Kerjasama pelbagai pihak

Guthrie ialah salah satu syarikat perladangan British yang tertua dan terbesar di Malaysia. Isu tentang Guthrie ini mula timbul apabila syarikat itu sering menolak cadangan kerajaan Malaysia untuk menanam semula pokok getah bagi membantu petani dan penoreh getah Melayu meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Atas desakan Bank Negara Malaysia, pegawai tertinggi Guthrie akhirnya menubuhkan sebuah anak syarikat iaitu Guthrie-Ropel untuk membenarkan penduduk tempatan membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur.

Walaupun Guthrie-Ropel mempunyai 17 peratus saham daripada semua tanah kepunyaan syarikat Guthrie di Malaysia, kebanyakan daripada tanah kepunyaan anak syarikat itu tidak sesuai untuk pertanian.

Salah satu faktor mempengaruhi keputusan Tun Ismail untuk mengambil alih Guthrie ialah syarikat itu tidak merujuk mana-mana wakil PNB dalam mesyuarat untuk menentukan hala tuju syarikat walaupun memiliki pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus.

Beliau mahu mengambil alih Guthrie secepat mungkin kerana bimbang negara boleh menjadi huru-hara sekiranya jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu dibiarkan.

Tun Ismail mendapatkan bantuan Khalid Ibrahim iaitu pengurus pelaburan PNB empat bulan sebelum melancarkan serangan terhadap pasaran saham London.

Bagi mengelakkan plan mereka disedari oleh kerajaan British, Khalid Ibrahim telah dinasihatkan oleh keluarga Rothschild untuk membuka sebuah akaun bank baharu di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.

Dengan persetujuan Tun Dr. Mahathir, modal sebanyak £282 juta telah diambil daripada tiga sumber berbeza iaitu Petronas, PERNAS dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25 peratus, kerajaan hanya perlu mendapatkan saham sebanyak 15 peratus lagi untuk menjadi shareholder utama di Guthrie.

Idea pengambilalihan Guthrie di Malaysia hanya boleh tercapai dengan pembelian saham Guthrie di Malaysia dan luar negara secara serentak sebelum London Stock Exchange (LSE) dibuka tetapi ia mesti dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan kerajaan British.

Hanya sekumpulan kecil perancang yang terlibat secara langsung sahaja diberi taklimat terperinci untuk memastikan serangan ini berjaya.

Pelaksanaan dawn raid pada 7 September 1981

Hari serangan akhirnya diputuskan iaitu 7 September 1981 pada pukul 9 pagi waktu London.

Khalid Ibrahim menguruskan pembelian saham di Malaysia bagi pihak PNB daripada Bank Simpanan Nasional, Genting dan Kuwait Investment Group.

Tun Ismail pula menguruskan pembelian saham di Singapura daripada pengerusi OCBC iaitu Tan Chin Tuan. Walau bagaimanapun, OCBC menolak tawaran pembelian PNB.

Pada masa yang sama, kedua-dua firma yang diupah oleh PNB di London hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie pada pagi tersebut.

Bank saudagar Rothschild berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris untuk menjual 11 peratus saham mereka manakala broker-broker Rowe & Pitman berjaya membeli saham sebanyak lima peratus daripada pelabur-pelabur kecil Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, PNB berjaya memiliki lapan juta daripada saham Guthrie dalam masa empat jam sahaja. Guthrie jatuh ke tangan Malaysia pada lewat tengah hari waktu London.

Sementara itu, Mark Gent iaitu pengerusi Guthrie hanya sedar bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita tersebut di radio. 

Tun Dr. Mahathir mengumumkan Malaysia akan memboikot barangan dan perkhidmatan dengan British melalui kempen Buy British Last satu bulan selepas peristiwa dawn raid.

Penulis:

  • Noor Amira Mohd Ansari adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan peristiwa bersejarah di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca