Seram! Selepas Beli Rumah ‘The Conjouring’, Pasangan Ini Alami Episod Kejadian Mistik

Sebaik sahaja membeli rumah ladang yang menjadi lokasi penggambaran filem seram The Conjuring sebelum ini, sepasang suami isteri dari Mexico mengakui sering mengalami gangguan misteri dan kejadian aneh. Kediaman tersebut terletak di Rhode Island, Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, pasangan Cory dan Jennifer Heinzen yang juga merupakan penyelidik paranormal sejak 10 tahun lalu tetap berkeras untuk tinggal di rumah tersebut yang dibeli mereka pada Jun lalu.

“Kami membeli rumah ladang ini meskipun tahu ia memiliki sejarah yang gila. Persekitarannya nyata mempesonakan dan amat tenang, malah siap dengan sungai di bahagian belakang rumah serta sebuah kolam.”

“Kami langsung jatuh cinta kepada rumah itu. Selain itu, sejarah keluarga Warrens menguatkan lagi minat kami untuk memiliki kediaman ini,” katanya kepada Sun Journal.

The Conjuring adalah sebuah filem seram yang ditayangkan pada tahun 2013. Ia dibintangi oleh Vera Farmiga dan Patrick Wilson yang membawa watak Ed dan juga Lorraine Warren. Filem ini merupakan adaptasi daripada kisah benar pasangan suami isteri itu.

The Conjuring berkisar tentang penyiasatan paranormal bagi membantu keluarga Perron (lakonan Ron Livingston dan Lili Taylor) yang mengalami peristiwa mistik di rumah mereka di Harrisville, Rhode Island pada tahun 1971.

Setelah hampir dua bulan tinggal di rumah berkenaan, Cory mengakui berdepan gangguan misteri dan keadaan sekeliling mula menjadi seram.

Selain pernah terdengar bunyi suara-suara pelik, mereka juga pernah diganggu dengan bunyi hentakan kaki dan ketukan di sekitar rumah. Tidak cukup dengan itu, pintu rumah mereka juga kadang-kadang terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Agak sukar untuk tinggal di rumah itu. Ia kedengaran sangat ‘sibuk’. Kali pertama bermalam seorang diri di situ agak menyeramkan.”

“Bohong kalau saya katakan saya tidak gementar, tetapi itulah tujuan utama saya,” tambah Cory.

Sementara itu, Jennifer tetap optimis berkenaan projek mereka yang dirancang selama ini iaitu untuk membuka rumah mereka kepada penggemar paranormal.

“Amat menakutkan sebenarnya tinggal di rumah ini kerana banyak perkara yang berlaku, namun ia tetap selesa bagi kami.”

“Kami merancang untuk melestarikan sejarah rumah ini sebelum membukanya kepada pengunjung dan penyelidik paranormal hujung tahun ini,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca