Sepasang biawak dipercayai ‘menumpang’ di rumah 7 sekeluarga yang terletak di Kampung Padang Limau, Karangan, Kulim. Keluarga berkenaan berdepan detik cemas apabila menyedari ‘pendatang asing’ itu menginap di celahan bumbung dapur kediaman mereka.

Kisah penemuan ‘warga asing’ itu bermula apabila keluarga tersebut yang menetap di Pulau Pinang baru sahaja tiba di rumah berkenaan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Sebaik sahaja menyedari kewujudan reptilia itu, salah seorang anggota keluarga segera menelefon pihak bomba.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Kulim Hi-Tech, Pegawai Bomba Kanan 2, Zabidin Mad Isa, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.15 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di kediaman itu, salah seekor biawak barangkali sedar bahawa ia menginap secara haram di situ dan bertindak melarikan diri ke kawasan semak di bahagian belakang rumah berkenaan.

Seekor lagi biawak seberat 2 kilogram berjaya ditangkap oleh anggota bomba dengan bantuan orang awam. Pihak bomba menggunakan penjerut khas dan tangga untuk menangkap reptilia berkenaan.

Zabidin memberitahu memandangkan kedudukan biawak itu yang tersangkut antara bumbung dan dinding di samping persekitaran yang agak gelap, operasi menangkap reptilia itu mengambil masa lebih 1 jam.

Difahamkan, keluarga berkenaan sudah lebih 3 bulan tidak menjejakkan kaki ke rumah itu kerana telah menetap di Pulau Pinang.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry