Search
Close this search box.

Seorang Wanita Rakyat Malaysia Kongsi Pengalaman ‘Lockdown’ Di Makkah

Semalam, pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi telah membuat satu panggilan video bersama seorang wanita rakyat Malaysia yang terkandas di Tanah Suci Makkah sejak 26 Februari yang lalu.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Nisa, dia pergi menunaikan umrah bersama ibu dan ibu mertuanya. Mereka berada di Madinah sejak 26 Februari sebelum ke Mekah pada 1 Mac.

Tambahnya, mereka dijangka akan pulang ke Malaysia pada 7 Mac lalu, namun ibunya yang berusia 71 tahun mengalami masalah semput sehingga dia terpaksa membawa ibunya itu ke hospital. Nisa turut memberitahu hanya mereka bertiga sahaja yang pergi menunaikan umrah kerana suaminya tidak dapat ikut serta.

Ketika berada di hospital, Nisa memberitahu bahawa doktor telah menahan ibunya dan tidak membenarkan mereka untuk pulang ke Malaysia disebabkan wabak COVID-19 yang sedang berlaku. Ujian saringan kesihatan COVID-19 turut dijalankan terhadap ibunya dan keputusannya adalah negatif.

Namun, keadaan ibunya pada ketika itu sangat lemah dan ibunya juga turut menghidap beberapa penyakit lain seperti kencing manis dan masalah buah pinggang.

Pak Nil turut bertanyakan kepada Nisa adakah dia sempat memasuki Masjidil Haram ketika perintah ‘lockdown’ dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi. Nisa memberitahu bahawa jemaah hanya dibenarkan memasuki Masjidil Haram sehingga 15 Mac sahaja.

Mengulas lebih lanjut mengenai ‘lockdown’ di tanah suci Makkah, Nisa memberitahu bahawa dia terpaksa keluar daripada hotel dan mencari rumah sewa sementara menunggu ibunya kembali sihat.

Kesemua masyarakat di sana perlu berada di rumah seawal jam 3 petang bagi mengelakkan diri mereka didenda sebanyak 10 ribu riyal (RM11,463). Ini kerana, kerajaan Arab Saudi ingin memastikan kesemua masyarakat mereka bebas daripada wabak penyakit tersebut.

Nisa juga turut meluahkan hasratnya untuk pulang ke Malaysia. Namun, semuanya bergantung kepada tahap kesihatan ibunya. Sebagai anak, dia gembira kerana dapat menunaikan impian ibunya untuk mengerjakan umrah.

Dalam pada itu, Pak Nil sempat memberikan kata-kata semangat kepadanya. Menurut Pak Nil, sebagai manusia Nisa perlu bersyukur kerana berada di Tanah Suci ketika orang lain tidak dapat berkunjung ke sana.

Pak Nil juga turut memberitahunya bahawa ramai yang mencemburui Nisa kerana dia diberikan kesempatan menjaga ibunya yang tengah sakit di Makkah kerana tidak semua orang berpeluang sedemikian. 

Sebelum mengakhiri panggilan video tersebut, Pak Nil meminta Nisa untuk mendoakan kesejahteraan kesemua petugas-petugas kesihatan termasuk anggota polis dan tentera yang bertugas di Malaysia.

Pak Nil turut berdoa dan berharap agar wabak COVID-19 ini segera berakhir dan ke semua negara kembali pulih seperti sedia kala.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca