Nasib malang menimpa seorang wanita apabila dia cedera gara-gara diserang seekor babi hutan yang sesat di sebuah stesen tren bawah tanah dekat Hong Kong pada Rabu lepas. Haiwan berkenaan dipercayai menceroboh masuk ke dalam stesen itu.
Orang ramai mendakwa bahawa babi hutan sepanjang satu meter itu dilihat berkeliaran tanpa hala tuju di Jalan Forbes sebelum bertindak ‘melawat’ stesen MRT Kennedy Town.
Pada mulanya, tiada siapa yang perasan kehadiran babi hutan itu sampailah kira-kira jam 8 malam di mana seorang petugas keselamatan ternampak kelibat haiwan tersebut.
Babi hutan itu bertindak menyerang seorang wanita yang berusia 49 tahun. Mangsa dikatakan mengalami cedera ringan di bahagian kaki apabila diserang secara tiba-tiba oleh haiwan itu ketika berada di lobi stesen. Dia kemudiannya segera dibawa ke Hospital Queen Mary untuk mendapatkan rawatan.
Pasukan polis bertindak memasang penghadang di lokasi haiwan itu berada untuk mengawal keadaan. Ketika itu, ia sedang berehat sekitar lif di pintu keluar B.
Anggota dari Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan (AFCD) kemudiannya menembak babi hutan itu dengan menggunakan ubat pelali. Setelah ia tidak sedarkan diri, haiwan itu dimasukkan ke dalam kandang pada jam 9 malam.