Seorang Lelaki Hilang Selepas Hantar Bantuan Bekalan Makanan

Seorang penghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaporkan hilang dalam insiden perahu karam di Ulu Julau dekat Sibu, Sarawak.

Menurut Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Ismuni Umar, lelaki yang dikenali sebagai Masing Seliong itu dipercayai dibawa arus sungai selepas perahu yang dinaikinya bersama dua lelaki lain iaitu Apai Kiroh dan Laki Anchi karam dalam kejadian sekitar jam 5 petang.

“Perahu itu dikatakan karam berdekatan kawasan Nanga Senyuruk di Ulu Julau. Dua orang mangsa (Apai dan Laki) berjaya menyelamatkan diri dan pulang ke rumah panjang mereka di Sungai Ensiring sebelum menyedari Masing hilang. Mereka seterusnya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis hari ini,” kata Ismuni Umar seperti yang dilaporkan Bernama.

Sebelum kejadian itu berlaku, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikatakan turut serta dalam rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan iaitu Rolland Duat Jubin untuk menghantar bantuan bekalan makanan kepada penduduk di lapan rumah panjang sepanjang sungai itu.

“Di rumah panjang terakhir, mereka telah diajak oleh penduduk untuk bermalam di sana namun menolak dan meneruskan perjalanan balik sebelum kejadian perahu karam itu berlaku,” katanya lagi.

Difahamkan, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta para penduduk telah memulakan gerakan bagi mencari mangsa yang hilang.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca