Seorang Jurutera Dan Ninja Terakhir Dunia, Ini Kisah Jinichi Kawakami

Jinichi Kawakami yang berasal dari Jepun ini merupakan seorang bekas jurutera. Mungkin kelihatan seperti orang biasa tetapi dia dikatakan sebagai ninja terakhir dalam dunia yang masih hidup.

Jinichi merupakan pemimpin ke-21 suku Ban. Banyak pihak mengakui hal ini kerana salasilah keturunan ninja boleh dikaji kembali sehingga 500 tahun yang lalu. Tetapi, Jinichi tidak gemar menggelarkan dirinya sebagai ninja terakhir kerana tidak mahu masyarakat berasa ragu-ragu dan memanggilnya penipu.

Menurut Jinichi, beliau adalah ninja terakhir kerana tiada orang lain mempelajari kemahiran ninja daripada Mahaguru Ninja sejati. Jinichi mengenali dunia ninja sejak berusia 6 tahun tetapi memorinya samar-samar tentang pertemuan pertama dengan Mahagurunya bernama Masazo Ishida, seorang lelaki yang berpakaian seperti sami Buddha.

Sejak itu, Jinichi mula berlatih dan patuh pada arahan tanpa mengetahui apa yang sedang dilakukan. Tahun demi tahun berlalu, Jinichi mengetahui yang dia sebenarnya sedang berlatih ninjutsu.

Untuk latihan tumpuan, Jinichi memerhatikan lilin yang sedang terbakar sehingga dia berasa dirinya berada di dalam lilin tersebut. Selain itu, Jinichi juga perlu berlatih mendengar bunyi jarum jatuh ke lantai.

Jinichi hebat memanjat dinding, melompat dari tempat yang tinggi dan mahir mencampurkan bahan kimia untuk membuat racun, bom dan asap.

Sebelum berusia 19 tahun, Jinichi berjaya mendapatkan gelaran Mahaguru yang membolehkannya menerima satu skrol rahsia dan juga peralatan istimewa seorang ninja.

Jinichi berkata, seni ninja lebih fokus menyerang ketika musuh sedang leka berbanding menggunakan kekerasan. Ninja juga mahir dalam mengalih perhatian agar dapat melarikan diri dengan cepat dan bersembunyi di sebalik benda-benda yang bersaiz kecil.

Jinichi mengkaji sejarah ninja di Mie University. Namun, beliau tidak akan mengambil pelajar baru untuk mengganti tempatnya dan menjadi pemimpin suku Ban yang ke-22.

“Ninja tidak lagi sesuai untuk hidup dalam zaman moden,” kata Jinichi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca