Seolah-Olah Ada Yang ‘Menyimpan’, Lokasi Mayat Nora Anne Ditemui Diakui Banyak Kampung Bunian

Mukim Pantai yang mempunyai 15 kampung dan berada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng itu dikatakan mempunyai penempatan bunian.

Kejadian orang sesat atau hilang ketika mendaki Gunung Berembun yang tidak jauh dari Pekan Pantai iaitu kawasan yang berdekatan dengan lokasi penemuan mayat Nora Anne Quoirin, 15, sering terjadi ketika mendaki gunung tersebut.

Nora Anne yang hilang selama 10 hari itu ditemui mati dalam keadaan bogel hanya kira-kira dua kilomter dari resort penginapan keluarganya.

Shaari Md Arshad,71, berkata, “Dengarnya terdapat banyak kawasan (perkampungan bunian). Itu cerita orang tua dulu dan kita pun tak ada bukti tapi kalau tanya mana-mana penduduk di sini, mereka tahu.”

Cerita berkenaan disampaikan daripada generasi ke generasi dan kebanyakan penduduk asal mengetahui hal ini namun mereka tidak tahu lokasi sebenar ‘kampung’ itu.

“Ada juga kawasan yang tempatnya keras, kita tak boleh masuk sampai sekarang iaitu di Batu 7. Banyak yang cuba masuk untuk ambil harta-karun di situ tapi ada saja halangan,” tambah Shaari.

Shaari menceritakan mengenai seorang kenalan lamanya yang bernama Ajis dan sekarang sudah meninggal dunia. Kenalannya itu mendakwa bahawa dia telah mengahwini seorang gadis bunian dan kerap hilang dalam tempoh yang lama.

Lelaki pendiam itu terpaksa dikurung ahli keluarganya supaya tidak hilang lagi.

“Macam-macam cerita. Ada juga pemandu bas yang nampak orang berarak ramai-ramai seperti ada kenduri kahwin tapi sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Disebabkan ‘penempatan’ itu wujud, sekurang-kurangnya itulah yang penduduk sedia maklum, kehilangan Nora Anne Quoirin selama 10 hari menimbulkan persoalan penduduk kerana hilang dalam tempoh yang lama. Seolah-olah ada yang ‘menyimpan’.

Kahar Sukin, 73, yang merupakan Imam Masjid Kariah Pantai dan juga penduduk asal di situ turut mengakui mendengar cerita wujud perkampungan bunian di kawasan pantai.

“Itu cerita orang tua dululah yang disampaikan daripada mulut ke mulut. Betul atau tidak, saya tak dapat pastikan”.

“Katanya bila pinggan yang dipinjam daripada ‘mereka’ pecah tapi tidak dipulangkan, itu yang ‘dia’ marah. Lagipun ada kawasan jeram di situ dan banyak orang bayar nazar,” katanya.

Nora Anne ditemui mati di kawasan tersebut selepas 10 hari pencarian oleh pihak berkuasa dan punca kematian gadis Ireland itu adalah disebabkan kebocoran usus dan stres akibat tidak menjamah makanan dalam tempoh yang panjang.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca