Sentuhan Pokok Ini Boleh Meragut Nyawa? Kenali 10 Tumbuhan Yang Boleh Bunuh Manusia

Tidak dinafikan bahawa terdapat tumbuh-tumbuhan yang hanya cantik untuk dipandang tetapi bukan untuk dipegang. Kami kongsikan 10 tumbuhan yang boleh membunuh manusia:

1. Oleander

Nama saintifik oleander ialah nerium oleander dan boleh ditemui di Morocco, Portugal, Gurun Sahara dan Asia Tenggara. Oleander dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana kecantikan bunga tersebut.

Namun, terdapat sesuatu yang tidak diketahui oleh orang ramai! Dilaporkan bahawa oleander merupakan salah satu tanaman yang paling beracun di bumi kerana ia biasanya digunakan untuk membunuh diri di selatan India.

Untuk pengetahuan anda, sehelai daunnya sahaja sudah cukup untuk membunuh manusia dewasa kerana racunnya mampu melambatkan denyutan jantung dan menyebabkan jantung gagal berfungsi serta-merta.

Racun oleander tertumpu pada bahagian getah yang berwarna putih seperti susu kerana apabila getah pokok oleander terkena kulit, ia mampu untuk menyebabkan kulit manusia menjadi kebas atau hilang deria rasa.

2. Lily of the valley

Nama saintifiknya ialah convallaria majalis dan boleh ditemui di benua Asia dan Eropah. Sama seperti oleander, bunga ini banyak digunakan sebagai tanaman hiasan.

Untuk pengetahuan anda, bunga ini sangat beracun dan boleh menyebabkan gejala seperti rasa sakit di mulut, muntah-muntah, kejang di seluruh tubuh dan cirit-birit sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak.

Di samping itu, racunnya juga boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.

3. Autumn crocus

Nama saintifiknya ialah crocus sativus dan boleh ditemui di Eropah, Afrika utara dan Timur Tengah serta digunakan sebagai rempah safron.

Ia mengandungi colchicine iaitu ubat beracun yang biasa digunakan untuk merawat sakit sendi dan mempunyai sejenis racun arsenik yang tiada penawarnya.

Pokok berkenaan mengandungi racun yang boleh mengurangkan tekanan darah seseorang dan turut boleh menyebabkan individu tersebut mengalami serangan jantung.

4. English yew

Nama saintifiknya ialah taxus baccata dan boleh ditemui di benua Eropah. Ia digunakan secara meluas sebagai agen anti-kanser, pembuatan perkakas rumah dan tanaman hiasan.

Para pengkaji menganggap English yew sebagai sebatang pohon yang pelik kerana semua bahagiannya sangat beracun kecuali kulit buahnya.

Namun, apa yang lebih mengejutkan tentang taxus baccata ialah racunnya boleh menyebabkan kelumpuhan dan digunakan untuk proses mengugurkan kandungan yang berakhir dengan kematian!

Taxine atau taxane merupakan racun utama pokok English yew. Walaupun begitu, racun pokok itu bertindak dengan sangat pantas. Penawar untuk racun tersebut masih belum ditemui sehingga hari ini.

5. Dendrocnide

Nama saintifiknya ialah dendrocnide meyeniana dan boleh ditemui di Indonesia dan Australia. Penduduk Australia menggunakan pokok dendrocnide untuk membuat jaring.

Dikenali sebagai the stinging tree, ia boleh membunuh manusia walaupun hanya dengan sentuhan. Ketinggiannya boleh mencapai 39 meter dan bulu-bulu pada daun dan batang pokok berkenaan boleh menyebabkan kegatalan pada kulit.

6. Othalam

Nama saintifiknya ialah cerbera odollam dan boleh ditemui di Asia Tenggara dan India. Pokok ini kebiasaannya diproses untuk dijadikan deodoran dan racun serangga.

Mengapa cerbera odollam dikenali sebagai suicide tree? Rupa-rupanya, sebiji buahnya sahaja sudah boleh membunuh seorang manusia. Pokok ini tumbuh di kawasan paya bakau dan mempunyai bunga yang berwarna putih.

Walaupun buah pokok itu kelihatan seperti mangga apabila sudah masak, ia mengandungi cerberin iaitu sejenis toksin berbahaya yang boleh mengakibatkan kegagalan jantung dan kematian.

7. Belladonna

Nama saintifiknya ialah atropa belladonna dan boleh ditemui di Eropah, Afrika utara dan Asia Barat. Belladonna mempunyai pelbagai kegunaan.

Contohnya, ia boleh diproses untuk menjadi alat kosmetik khususnya dalam pembuatan maskara dan boleh digunakan untuk merawat kesakitan, kekejangan otot dan antikeradangan.

Pokok ini dipenuhi racun tetapi bahagian yang paling berbahaya ialah buahnya. Racun pokok belladonna boleh mengakibatkan individu itu mengalami gejala seperti anak mata membesar, penglihatan menjadi kabur, sakit kepala, halusinasi dan kurang waras.

Selain itu, racun yang terkandung di dalam bunga ini menyebabkan individu itu mengalami gangguan pernafasan, berpeluh dan jantungnya berdegup laju.

8. Ricinus

Nama saintifiknya ialah ricinus communis dan boleh ditemui di Mediterranean, Afrika timur dan India. Rupa-rupanya, satu biji sahaja sudah mampu membunuh seorang manusia dewasa dalam tempoh seminit sehingga dua hari!

Toksin yang dinamakan ricin boleh ditemui di seluruh pokok tetapi racun itu tertumpu pada bijinya. Salah satu kegunaan biji pokok tersebut adalah sebagai minyak jarak.

Dalam beberapa jam pertama, individu itu akan mengalami rasa seakan terbakar di dalam tekak dan mulut, sakit perut, cirit-birit berdarah dan muntah. Ricin turut boleh menyebabkan individu itu mengalami dehidrasi yang teruk.

9. Cicuta

Nama saintifiknya ialah cicuta virosa dan boleh ditemui di Amerika Utara dan Eropah. Cicuta boleh digunakan untuk merawat meningitis, epilepsi, eklampsia dan paralisis.

Selain itu, ia digunakan untuk merawat kecederaan sementara pada bahagian kepala dan bahagian belakang badan dengan penggunaan secara homopati.

Turut dikenali sebagai water hemlock, bahagian bunga, batang dan akar tumbuhan ini mengandungi satu sebatian yang beracun iaitu cicutoxin.

Cicutoxin walaupun dalam jumlah sedikit boleh menyebabkan kekejangan yang kemudiannya menyebabkan kematian sekiranya tubuh tidak mampu bertahan lagi.

Kematian boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas penggunaannya yang menyebabkan individu itu mengalami kegagalan pernafasan atau fibrilasi ventrikel.

Akar pokok ini sering disalah anggap oleh manusia sebagai lobak atau tanaman jenis ubi tetapi ia boleh menyebabkan kematian.

10. Manchineel

Nama saintifiknya ialah hippomane mancinella dan boleh ditemui di tempat seperti pantai di Florida, hutan tropika Amerika dan Hindia Barat yang terletak di sekitar Caribbean.

Batang pokok manchineel digunakan oleh tukang kayu di Carribean selepas dipotong dan dikeringkan. Kegunaan lain pokok manchineel ialah getahnya boleh merawat penyakit edema dan buahnya pula digunakan untuk rawatan diuretik.

Guinness World Records menyenaraikan machineel sebagai pokok paling beracun di dunia! Disebabkan bentuk buahnya menyerupai sebiji epal, pokok ini digelar epal kecil pembawa kematian.

Untuk dijadikan cerita, sekiranya anda berlindung di bawahnya semasa hujan, getahnya boleh menyebabkan tubuh manusia dipenuhi luka dan andaikata pokok ini dibakar, asapnya boleh menyebabkan individu itu menjadi buta.

Racun boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Dalam kes ini, racun hadir dalam bentuk yang cantik untuk dilihat tetapi ia sebenarnya berbahaya kepada manusia.

Penulis

  • Lyverline Nadiyata Ricky Ngo adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca