Seni Fotografi Mayat: Tanda Peringatan Di Zaman Permaisuri Victoria Pertama England

Mengambil gambar mayat mungkin kedengaran menakutkan pada zaman moden ini. Tetapi gambar insan tersayang yang diambil setelah kematian mereka merupakan cara masyarakat England pada zaman dahulu untuk memperingati si mati.

Apabila Permaisuri Victoria I menaiki takhta, kematian merupakan satu kebiasaan di England. Lambakan epidemik seperti typhus dan cholera menyebabkan kes kematian naik mendadak. Beberapa nurseri kanak-kanak pula dihantui dengan beberapa kematian akibat campak, scarlet fever dan rubella.

Sebelum bermula Era Victoria, masyarakat England pada zaman dahulu sudah lama mempunyai idea kreatif untuk memperingati mereka yang telah mati. Rambut si mati dipotong dan cebisannya diletakkan di dalam loket dan cincin. Malah, helaian rambut si mati turut dijadikan arca dan lukisan.

Seni fotografi mula mendapat nama pada pertengahan tahun 1800-an. Kerana harganya yang berpatutan, masyarakat mula beralih kepada gambar potret sebagai cara memperingati si mati.

Pelanggan yang sering diambil gambarnya adalah kanak-kanak. Sebelum gambar mayat diambil, kanak-kanak itu akan dipakaikan pakaian yang cantik dan disolek supaya kelihatan ‘sihat’ seperti kanak-kanak yang masih hidup. Bangkai burung, dawai, bunga layu dan genggaman tiga jari (merujuk kepada holy trinity) sering menjadi simbol untuk menandakan kanak-kanak di dalam gambar itu telah meninggal dunia.

Walaupun seni fotografi ini sangat popular satu masa dahulu, ia sebenarnya merupakan satu perniagaan yang penuh cabaran. Pekerjaan ini memerlukan kebolehan seseorang itu mengendalikan mayat dan kamera dengan penuh teliti.

Majoriti mayat kanak-kanak tidak diletakkan di atas riba ibu bapa mereka, tetapi ia diletakkan dalam beberapa posisi lain seperti duduk, baring dan bersandar. Seorang jurugambar harus tahu bagaimana untuk menggayakan si mati supaya tidak kelihatan terlalu kaku.

Bagi mayat dewasa pula, menjadi kebiasaan untuk si mati berada di dalam keranda sebelum difotokan. Namun, terdapat juga permintaan yang mahu insan tercinta kelihatan ‘hidup’. Sesetengah mayat akan didudukkan di atas kerusi sambil memegang buku.

Setelah selesai sesi bergambar, jurugambar akan memanipulasikan foto kepada gambar negatif supaya pandangan si mati tidak kelihatan terlalu kosong. Kadangkala, jurugambar melukis mata pada kelopak si mati yang tertutup.

Seni ini menemui pengakhirannya pada tahun 1930-an apabila rakyat mula kembali ke cara ratapan yang normal. Kualiti kesihatan juga telah meningkat berikutan pengenalan antibiotik dan ubatan lain. Walaupun begitu, masih terdapat beberapa masyarakat di seluruh dunia yang terus mengamalkan seni fotografi ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca